Oh! Tidak
Penuntut 19 tahun trauma selepas pemandu e-hailing didakwa berbual lucah sepanjang perjalanan dari TBS ke Setapak.
Perjalanan pulang ke hostel yang sepatutnya biasa bertukar menjadi pengalaman menakutkan buat seorang pelajar berusia 19 tahun selepas pemandu e-hailing yang dinaikinya didakwa berbual mengenai perkara lucah.
Lebih membimbangkan, ketika kejadian berlaku sekitar awal pagi, mangsa yang mahu dikenali sebagai Putery hanya berdua bersama pemandu lelaki terbabit sepanjang perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Setapak.
Perbualan mula buat mangsa tak selesa

Putery yang berasal dari Seremban berkata, bas dinaikinya pada Rabu lalu mengalami kelewatan sehingga dia hanya tiba di TBS kira-kira jam 1.30 pagi berbanding jadual asal pada 9 malam.
Selepas mendapatkan pemandu e-hailing baharu, perbualan pada awalnya hanya berkisar mengenai kelewatan bas dan rancangan cutinya sebelum lelaki itu mula bercerita mengenai Thailand, pelacur serta pengalaman peribadinya.
Saya hanya memberi respons ringkas seperti ‘oh’, ‘ye ke’ dan ‘faham’ kerana berasa tidak selesa dengan topik perbualan itu, namun pemandu terbabit meneruskan perbualan.
Pemandu itu memberi contoh tubuh badan saya ketika menceritakan perkara berunsur lucah itu.- Katanya.
Menurut Putery, pemandu berkenaan terus bercakap mengenai perkara lucah sepanjang perjalanan. Malah selepas tiba di hostel, lelaki itu masih meneruskan topik sama dan menunjukkan sejenis pil yang didakwa diambil sebelum melakukan hubungan seks.
Pilih diam kerana takut keselamatan terancam

Perjalanan yang biasanya mengambil masa kira-kira 20 minit turut menjadi lebih lama apabila kenderaan berkenaan didakwa dipandu perlahan walaupun keadaan jalan tidak sesak pada waktu itu.
Putery mengakui dia memilih untuk tidak menegur pemandu tersebut kerana bimbang dengan keselamatannya memandangkan mereka hanya berdua di dalam kenderaan.
Saya bukan tidak mahu menegur, tetapi saya seorang perempuan dan ketika itu hanya berdua dengannya. Saya bimbang jika berlaku sesuatu, saya mungkin tidak dapat berbuat apa-apa. Sebab itu saya memilih untuk diam sehingga tiba di destinasi.- Katanya.
Dia sempat merakam sebahagian perbualan berkenaan sebelum video itu tular di media sosial. Susulan kejadian, Putery membuat laporan polis di Balai Polis Setapak.
Kongsikan artikel ini
Kongsikan artikel ini jika anda rasa lebih ramai patut mengetahuinya.
BULETIN OH! MEDIA
Baca Yang Paling Best Je.
Berita terbaik terus ke e-mel anda setiap malam. Percuma!
Pautan artikel telah disalin.
Hafizal adalah penulis sepenuh masa di Oh! Media yang sentiasa hadir menemani anda, terutama di saat-saat lewat malam. Untuk mendapatkan berita terkini dan cerita viral, jangan lupa cari nama Hafizal—sentiasa ada untuk menghibur dan menginformasikan anda!

