Zul masih dalam proses pemulihan – A.C.A.B

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain dram kumpulan oi!, ska dan rock indie, A.C.A.B., Zul, kini masih dalam proses pemulihan dan bakal mengambil masa selama empat hingga ke lima tahun untuk ‘bercuti’ daripada sebarang kempen antarabangsa yang dianjurkan.

Perkara itu dikongsikan pemain gitar utamanya, Megat Hafiz atau Major Max menerusi hantaran di Instagram acabmalaysia.

“Alhamdulillah, Zul masih bersama kita lagi yang kini masih dalam proses recovery (pemulihan).

“Dia (Zul) akan mengambil empat hingga lima tahun bercuti dari kempen-kempen antarabangsa A.C.A.B. mahupun sekiranya A.C.A.B. mengambil keputusan untuk bermain semula di Malaysia. Semoga cepat sembuh, ‘brother’,” tulisnya.

Sebelum ini, konsert ulang tahun ke-30 A.C.A.B. yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur sekitar dua tahun lalu, hampir menjadi tragedi apabila Zul rebah akibat serangan jantung pada permulaan persembahan.

Berkongsi kejadian, ketika itu kumpulan berkenaan sedang mempersembahkan lagu Unite & Fight sebelum bunyi dram perlahan-lahan menyusut dan selepas itu tidak kedengaran.

“Aku hanya menyangka Zul terlepas ‘stick’ dram dia, tetapi apabila menoleh dan pergi ke belakang, aku melihat Zul telah rebah yang pada mulanya dia kelihatan seakan tersenyum sebelum senyumannya pudar lalu wajahnya berubah menjadi pucat.

“Pasukan perubatan kemudian meminta semua menjarakkan diri dari Zul sambil mengibas-ngibas kain untuk beberapa ketika.

“Seorang doktor yang kebetulan berada di situ dari kalangan peminat kemudiannya meneruskan CPR sehinggalah ambulans datang mengambil Zul di Zepp dan membawanya ke hospital sebelum keadaan Zul disahkan stabil,” tulisnya lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, kumpulan terbabit turut mengumumkan perancangan dengan melancarkan sebuah buku autobiografi baharu berjudul The Next Chapter of A.C.A.B. yang ditulis Max Hafiz.

Karya biografi itu diterbitkan sempena konsert A.C.A.B. – The Homecoming Concert 2027 yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada pertengahan tahun depan.

“Bahagian ‘skintroduction’ dan Jilid 1 dilaporkan sudah siap disempurnakan, sekali gus menandakan sesi pra-pesanan bagi buku yang merakamkan perjalanan kumpulan itu bermula dari konsert akhir, sesi rakaman terbaharu, persembahan antarabangsa, serta koleksi gambar eksklusif yang belum pernah disiarkan bakal dibuka dalam masa terdekat,” kongsinya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top