Penerbangan batal, pembantu rumah Indonesia terpaksa bermalam di lapangan terbang

am@hmetro.com.my

Sepang: Hasrat pembantu rumah warga Indonesia untuk pulang ke Jakarta, Indonesia tertangguh apabila penerbangannya dibatalkan disebabkan penutupan sementara operasi penerbangan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Ia susulan abu gunung berapi daripada letusan Gunung Anak Krakatau dikesan di kawasan lapangan terbang itu, menyebabkan 209 penerbangan terganggu dan menjejaskan 22,798 penumpang.

Yati Rasta, 61, berkata, dia tiba di lapangan terbang seawal 6 pagi hari ini bagi menaiki penerbangan dijadualkan pada 11 pagi ke Tanjung Priok, Ancol, Jakarta.

Bagaimanapun, Yati berkata, dia dimaklumkan penerbangan dibatalkan dan tiket ditukar kepada penerbangan 7 pagi esok.

Katanya, ia menyebabkan dia terpaksa menunggu di lapangan terbang kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk mencari tempat menginap.

“Saya tinggal di Puchong, tetapi tidak dapat pulang ke rumah majikan kerana mereka balik kampung ke Kuantan, Pahang.

“Wang yang ada sudah dihantar kepada keluarga di kampung, saya tiada saudara di Malaysia. Saya seorang saja di sini.

“Saya sudah telefon anak di kampung dan beritahu penerbangan dibatalkan kerana mereka sudah tunggu di lapangan terbang dan tidak dapat balik sekarang,” katanya ketika ditemui di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tinjauan di Terminal 2 mendapati beberapa penerbangan AirAsia ke Jakarta dibatalkan, antaranya AK034 (1.20 petang), QZ 025 (3.25 petang), AK 0386 (5.10 petang) dan QZ 0209 (6 petang).

Media melaporkan, Malaysia Airports (MAHB) menerusi makluman di media sosial meminta penumpang terjejas, khususnya membabitkan penerbangan ke Jakarta untuk menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai jadual penerbangan.

Sementara Itu, bimbang dengan keselamatan dua anak menyebabkan seorang ibu warga Indonesia sanggup menukar penerbangan mereka dari Kuala Lumpur ke Jakarta kepada penerbangan ke Yogyakarta.

Ina Rahman, 49, dari Bangsar berkata, dua anaknya sepatutnya pulang ke Jakarta hari ini menggunakan penerbangan AirAsia pada 11.30 pagi, sebelum menerima makluman jadual penerbangan dibatalkan.

“Sekarang pilihan yang ada ialah penerbangan esok antara 8 atau 9 pagi tetapi itu pun belum pasti,” katanya.

Menurut Ina, khuatir kerana kedua-dua anaknya perlu kembali ke Indonesia bagi memulakan pengajian di sebuah universiti esok, selepas bercuti lebih seminggu di Malaysia.

“Kami terpaksa tukar penerbangan ke Yogyakarta kerana laluan itu lebih selamat. Dari Yogyakarta, mereka akan menaiki kereta api ke Bandung.

“Penerbangan ke Yogyakarta hari ini sudah penuh, mereka terpaksa memilih penerbangan esok,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top