Mayat lelaki warga asing disyaki penyeludup beras ditemui di Sungai Golok

am@hmetro.com.my

Tumpat: Mayat seorang lelaki warga asing disyaki penyeludup beras ditemui di permukaan Sungai Golok berhampiran Kampung Derdap, Pengkalan Kubor, di sini, lewat petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Mohd Zamri Omar berkata mayat warga Thailand itu ditemui jam 6.30 petang, kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan jatuh.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki terjun ke Sungai Golok ketika melarikan diri dalam serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA), berdekatan Stor Haram Pok Ngoh, Pisau Raut di sini, semalam.

“Pihak kami menjalankan pencarian lelaki itu bermula pagi tadi dengan kekuatan tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan melakukan dua kali selaman.

“Bagaimanapun ketika operasi hampir ditangguhkan petang tadi, mayat lelaki itu ditemui di permukaan Sungai Golok. Mayat itu diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand untuk tindakan lanjut,” kata Mohd Zamri ketika dihubungi, hari ini.

Anggota PGA 8 terdahulu mengesan sebuah perahu dinaiki lelaki berkenaan bersama seorang rakannya dalam keadaan mencurigakan, berhampiran tebing Sungai Golok.

Mereka kemudian dikesan terjun ke sungai itu sebaik saja menyedari kehadiran pasukan keselamatan berkenaan sebelum cuba berenang ke arah tebing sungai di negara jiran.

Seorang daripada mereka berjaya meloloskan diri ke tebing sebelah sungai negara Thailand, manakala seorang lagi hilang daripada pandangan dipercayai lemas.

Pemeriksaan lanjut anggota PGA 8 ke atas perahu dinaiki mereka selepas itu berjaya menemui 1,178 kilogram (kg) beras dan 100kg beras pulut dipercayai diseludup dari Thailand.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top