nurul_husna@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan disaran menyegerakan penggubalan undang-undang khas berkaitan pelarian bagi menangani keresahan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, keresahan masyarakat kini berada pada tahap membimbangkan berikutan pelbagai pendedahan mengenai komuniti pelarian sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, suara rakyat semakin jelas menerusi tindakan beberapa aktivis dan pempengaruh tempatan memuat naik kandungan ‘terjah’ ke penempatan komuniti pelarian, termasuk etnik Rohingya.
Pelbagai isu dibangkitkan termasuk kewujudan kawasan perumahan haram dan penguasaan ekonomi tempatan secara terbuka.
”Langkah drastik aktivis di lapangan mencerminkan jurang ketara antara bidang kuasa penguatkuasaan sedia ada dengan realiti sebenar.
”Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kini berdepan dilema berpanjangan akibat bidang kuasa yang terhad. PBT hanya berupaya bertindak atas kesalahan pentadbiran seperti semakan lesen perniagaan dan kawalan zon seliaannya sahaja.
”Tiada tindakan tegas dan penguatkuasaan boleh diambil, sekali gus membolehkan golongan pelarian ini bertapak hingga merentasi dua generasi, sekali gus membina rantaian populasi semakin ramai dalam suatu kawasan dan monopoli dalam kegiatan ekonomi tempatan,” katanya.
Mohd Noor Helmy yang aktif menangani konflik isu pelarian Rohingya di kawasannya mengakui, pihak berkuasa kini tersepit antara tuntutan kemanusiaan dan ketegasan undang-undang.
Beliau turut membangkitkan sikap sebahagian komuniti Rohingya yang sering berlakon sebagai mangsa (play victim), sekali gus menambah beban dan rasa tidak puas hati penduduk tempatan.
”Kesabaran rakyat semakin menipis kerana melihat jurang keistimewaan yang dinikmati pelarian, manakala warganegara pula merasakan hak mereka semakin terhakis.
“Bagi mengelakkan implikasi krisis sosial dan keselamatan yang lebih parah, penggubalan undang-undang khusus terhadap pelarian mesti dilaksanakan segera,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan berasaskan undang-undang yang ketat perlu diambil bagi mengekang sebarang tindakan bersendirian oleh orang awam yang berpotensi mendedahkan kepada risiko kecederaan atau pergeseran fizikal.
”Hak dan kebajikan warganegara mesti diletakkan pada keutamaan tertinggi tanpa membiarkan beban ekonomi serta sosial terus ditanggung rakyat tempatan.
”Sekiranya kebebasan golongan pelarian ini terus dibiarkan tanpa kawalan perundangan, pergeseran antara rakyat dan komuniti pendatang dikhuatiri boleh menjejaskan kestabilan negara.
”Justeru, kerjasama padu antara PBT, agensi keselamatan dan kementerian berkaitan amat diperlukan bagi memelihara kedaulatan serta ketenteraman awam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
