am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, pemulihan UMNO tidak boleh bergantung kepada gabungan atau parti politik lain, sebaliknya perlu berdikari dan membangunkan kekuatan dengan strategi sendiri.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata, ia adalah antara sebab mengapa pendirian UMNO sejak tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 disifatkan sebagai enigma politik atau misteri politik, termasuk pendekatan parti itu yang bekerjasama dengan parti yang sebelum ini ialah seteru.
Mohamad berkata, UMNO berdepan pelbagai tohmahan susulan keputusan itu, namun ia tetap diteruskan kerana tiada yang lebih strategik daripada mempunyai peranan dalam kerajaan, berbanding hanya menjadi pembangkang.
“UMNO sangat menyedari kita tidak boleh bergantung kepada sesiapa. Tidak PH (Pakatan Harapan) atau PN (Perikatan Nasional). Tidak PAS, apatah lagi DAP.
“Jika kita bergantung kekuatan kepada orang lain, matlamat jangka pendek mungkin tercapai tetapi kerugian dalam waktu panjang akan lebih memudaratkan UMNO.
“UMNO tidak boleh dibeli dengan kerjasama politik bermusim tetapi perlu mengembalikan kekuatan kita sendiri supaya akhirnya tidak perlu bergantung dengan orang lain demi kelangsungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, malam ini.
Selain itu, Mohamad menjelaskan, pendirian yang diambil UMNO sejak lapan tahun lalu adalah demi survival parti itu.
Katanya, UMNO sudah dan akan terus meneroka segala kemungkinan dan menilai segala ancaman, hanya untuk berada dalam mod bertahan hidup.
“Jadi, hentikan segala tohmahan terhadap UMNO. Kita tidak menikam sesiapa. Kita tidak khianat pada mana-mana pihak.
“Kita hanya mengusahakan ikhtiar terbaik untuk berkelangsungan dan berfungsi sebagai sebuah parti serta perjuangan.
“Kita tidak membenci atau memusuhi sesiapa. Kita hanya mahu UMNO ini bangun semula kerana akhirnya, yang ingin UMNO temui adalah kebarangkalian yang terbaik untuk UMNO dan masa depannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
