am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seorang anggota polis trafik maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan tayar sebuah lori dalam kejadian di Jalan Kebun, Klang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, mangsa, Koperal Izwan Napiah, 41, bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa yang sedang menunggang motosikal dari arah Jalan Kebun menghala ke Rimbayu.
“Semasa bergerak lurus di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan tayar sebuah lori dipandu seorang lelaki warga tempatan.
“Susulan itu, mangsa hilang kawalan dan terjatuh di jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan yang berbahaya atau melulu.
“Polis memohon kerjasama daripada orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi BSPT IPD Klang Selatan atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
