JAKARTA – Hutang projek Kereta Api Laju Jakarta-Bandung (KCJB) atau Whoosh telah distruktur semula dengan tempoh pembayaran sehingga 80 tahun, menurut Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa.
Purbaya berkata, meskipun jumlah keseluruhan hutang projek itu besar, ansuran tahunan selepas penstrukturan semula adalah sekitar 1 trilion rupiah (RM231 juta) atau sedikit lebih rendah.
Menurutnya, jumlah bayaran itu tidak sama setiap tahun dengan sesetengah tahun mencatatkan komitmen lebih tinggi atau lebih rendah.
“Jumlah hutangnya besar, tetapi sudah distruktur semula selama 80 tahun. Ansurannya 1 trilion rupiah atau sedikit di bawah 1 trilion rupiah dari tahun ke tahun,” katanya.
Purbaya berkata, tumpuan kerajaan kini adalah terhadap kemampuan memenuhi kewajipan pembayaran tahunan.
Kerajaan Indonesia turut mempertimbangkan penggunaan Special Mission Vehicle (SMV) di bawah Kementerian Kewangan atau Indonesia Investment Authority (INA) bagi menguruskan kewajipan tersebut.
Proses pengalihan pengurusan kewajipan Whoosh daripada Badan Pengelola Investasi Daya Anagata Nusantara (BPI Danantara) kepada Kementerian Kewangan dijadualkan pada 15 September.
Purbaya berkata, berdasarkan pengiraannya, dana untuk memenuhi kewajipan itu mencukupi dan beban tahunan berkenaan masih mampu ditangani.
Beliau turut menyatakan entiti yang bakal menguruskan kewajipan tersebut tidak semestinya memerlukan pelabur baharu atau suntikan modal tambahan. – Agensi
