shahrizan_salian@mediaprima.com.my
New Delhi: BRICS menawarkan kelebihan geoekonomi penting dalam pelbagai aspek, menghasilkan massa kritikal daripada pasaran bersepadu yang besar, sekali gus membuka peluang untuk mempelbagaikan perdagangan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ia membolehkan ekonomi negara anggota BRICS mengurangkan kebergantungan melampau terhadap pasaran barat tradisional.
“Akhirnya, sinergi yang tercipta, diterokai, dan digunakan secara optimum ini akan berfungsi sebagai dorongan kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran bersama,” katanya pada Sidang Kemuncak BRICS di sini, hari ini.
Anwar menegaskan bahawa dunia tidak boleh berbicara mengenai pertumbuhan dan kemakmuran yang inklusif ketika peperangan terus melonjakkan harga tenaga serta mengancam laluan maritim yang menjadi talian hayat ekonomi.
Katanya, pencerobohan yang dilakukan oleh Israel di Asia Barat telah pun merebak jauh melangkaui pihak-pihak yang terlibat secara langsung.
“Negara-negara yang tidak terlibat dalam perang ini turut menanggung akibatnya melalui inflasi yang lebih tinggi dan ketidaktentuan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia berpendirian bahawa kedaulatan wajar dihormati, orang awam mesti dilindungi dan arteri ekonomi global mesti dijauhkan daripada medan perang.
Beliau berkata, pihak yang mempunyai kapasiti terbesar untuk mencorakkan hala tuju, memikul tanggungjawab khusus untuk menghalang ketegangan daripada terus memuncak.
Katanya, Malaysia berharap BRICS akan menyatakan secara jelas dan nyata apa yang sepatutnya tidak perlu dipertikaikan lagi iaitu bahawa pendudukan, kolonialisme, malah lebih tepat lagi ‘keganasan pendatang’ (settler terrorism) tidak boleh dijadikan takdir, dan tiada nyawa yang kurang bernilai hanya kerana tempat mereka tinggal.
“BRICS mampu meluaskan pilihan kita dan memperkukuh kapasiti kita untuk mencorakkan dunia di sekeliling kita. Namun, pengaruh bukanlah matlamat akhir.Ia hanya bermakna jika kita bersedia menggunakannya demi prinsip yang kita perjuangkan.
“Bagi Malaysia, autonomi strategik bermaksud kebebasan untuk memilih haluan kita sendiri, dan keberanian untuk mempertahankan pilihan itu apabila tiba masanya.
“Sebagai sebuah Negara Rakan (BRICS), Malaysia berharap dapat menyumbang dalam semangat itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
