sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou menepati ramalan untuk merangkul dua kejuaraan selepas cemerlang dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan beregu lelaki SU5 pada Kejohanan Para Antarabangsa Jepun 2026, hari ini.
Pemain nombor satu dunia itu terlebih dahulu turun dalam acara perseorangan untuk bertemu wakil Jepun, Taiyo Imai yang juga pilihan kedua kejohanan dan seperti dijangka, Liek Hou tidak berdepan kesukaran besar apabila mencatat kemenangan straight set 21-13, 21-11 dalam tempoh 33 minit untuk mengesahkan kejuaraan yang keempat dalam acara berkenaan pada tahun ini.
Selain kejohanan ini, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik dua kali itu cemerlang pada Kejohanan Para Dunia 2026, Kejohanan Para Antarabangsa Sepanyol dan Kejohanan Para Antarabangsa Perancis.
Dalam pada itu, kemenangan dalam acara perseorangan memberi momentum terbaik buat dirinya sebelum turun dalam perlawanan akhir beregu lelaki SU5 selepas gandingannya bersama Faris Ahmad Azri hanya memerlukan 28 minit untuk menewaskan pasangan Chirag Baretha-Tay Wei Ming dari India-Singapura 21-15, 21-15.
Kejayaan itu membuktikan gandingan mereka cukup ampuh dan sukar digugat apabila masih belum tewas sepanjang tahun ini, selain berjaya meraih tiga kejuaraan setakat ini termasuk pada Kejohanan Badminton Para Dunia 2026 dan Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Perancis 2026.
Sementara itu, Muhammad Ikhwan Ramli yang bersaing dalam kategori WH1 (berkerusi roda) selaku pilihan pertama kejohanan terpaksa akur apabila tewas dalam pertarungan tiga set kepada wakil Jepun, Keita Nishimura 21-13, 11-21, 15-21 dalam tempoh 60 minit.
Selepas itu, Ikhwan Ramli turun sekali lagi dalam aksi final WH1 beregu lelaki dengan misi menebus kembali kekecewaan itu, namun gandingannya bersama Noor Azwan Noorlan sekali lagi tewas 15-21, 12-21 kepada pasangan nombor satu dunia, Daiki Kajiwara-Keita Nishimura dari Jepun.
Dalam pada itu, gandingan beregu campuran kategori SH6 (kerdil) negara, Amin Azmi-Nurzammiezatul Syafiqqah Zamberi turut terpaksa akur apabila tewas kepada pilihan pertama kejohanan dari Hong Kong, Chu Man Kai-Choi Wing Kei 14-21, 9-21.
© New Straits Times Press (M) Bhd
