Firma Turkiye jawab dakwaan eksploitasi AI sasar Malaysia

ANKARA – Sebuah firma teknologi yang berpusat di Ankara menafikan penglibatan mereka dalam operasi terancang yang menyalahgunakan model kecerdasan buatan (AI) Claude milik Anthropic untuk mempengaruhi pilihan raya di Malaysia.

Menerusi kenyataan berbahasa Turkiye yang dimuat naik di LinkedIn pada Jumaat lalu, BBS Bilisim Teknolojileri menolak dakwaan tersebut dan menegaskan pihaknya tidak tahu-menahu tentang aktiviti seperti disebut dalam Laporan Risikan Ancaman Anthropic bagi September 2026.

BBS memaklumkan siasatan dalaman sedang dijalankan bagi menentukan sama ada nama atau aset digital syarikat digunakan tanpa pengetahuan mereka termasuk kemungkinan melibatkan bekas individu yang pernah ada kaitan dengan syarikat itu.

“Kami akan melaporkan kepada pejabat ketua pendakwa raya selepas bukti awal diperoleh,” menurut kenyataan firma itu yang dimiliki dua warga tempatan, Turker Batuhan Sarı dan Bedri Sarı.

Penafian itu dibuat selepas Anthropic menuduh BBS menjual akses kepada sebuah platform yang menawarkan perkhidmatan untuk mempengaruhi maklumat di Malaysia.

Pada minggu lalu, Anthropic mendakwa operasi berkenaan menggunakan Claude untuk mengendalikan lebih 1,000 akaun di platform X dan mewujudkan sokongan palsu terhadap beberapa tokoh kerajaan termasuk Perdana Menteri selain cuba mendapatkan kontrak daripada pengawal selia komunikasi Malaysia, namun tiada bukti menunjukkan operasi berkenaan berjaya memperoleh pengaruh besar atau mengubah keputusan pilihan raya.

Laporan sama menyatakan kumpulan itu juga menyediakan kandungan bagi menyebarkan dakwaan palsu terhadap seorang ahli politik pembangkang dan sebuah pertubuhan masyarakat sivil serta mengendalikan laman berita palsu, Malaysia Pulse yang turut mempunyai saluran YouTube. Bagaimanapun, laman Malaysia Pulse kini tidak lagi boleh diakses.

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang penglibatan dalam aktiviti seperti dinyatakan Anthropic dan mereka memandang serius dakwaan tersebut serta sedang mendapatkan maklumat lanjut sebelum menentukan tindakan susulan. – Agensi

 

Scroll to Top