PM Sweden letak jawatan selepas kalah pilihan raya Parlimen

Stockholm: Perdana Menteri Sweden Ulf Kristersson mengumumkan peletakan jawatannya pada Khamis selepas keputusan awal menunjukkan blok berhaluan kanan pimpinannya kehilangan majoriti Parlimen dalam pilihan raya umum.

“Speaker (Parlimen) kini akan mengetuai langkah seterusnya ke arah pembentukan kerajaan baharu. Bagi membolehkan proses itu bermula dengan segera, saya dengan ini memohon untuk dilepaskan daripada tugas saya sebagai perdana menteri,” kata Kristersson dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial X.

Keputusan awal yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Pilihan Raya Sweden pada awal Khamis menunjukkan blok pembangkang berhaluan tengah kiri memperoleh majoriti Parlimen selepas pengiraan selesai di kesemua 6,626 daerah pilihan raya.

Secara keseluruhan, empat parti pembangkang itu memperoleh 49.6 peratus undi dan 176 kerusi dalam Parlimen yang mempunyai 349 kerusi.

Blok sayap kanan Kristersson pula memperoleh 48.8 peratus undi dan memenangi 173 kerusi.

Tumpuan kini beralih kepada sama ada empat parti pembangkang itu dapat mencapai persetujuan mengenai pembentukan kerajaan.

Kumpulan parti itu terdiri daripada Social Democrats, Left Party, Green Party dan Centre Party.

Social Democrats kekal sebagai parti terbesar dengan memperoleh 28 peratus undi dan memenangi 99 kerusi.

Usaha mencapai persetujuan sedemikian mungkin sukar berikutan perbezaan dasar yang ketara antara parti berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top