hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) mencadangkan enam langkah utama termasuk memperluaskan pelantikan Pembantu Warden Asrama bagi memperkukuh pemantauan keselamatan serta kebajikan pelajar.
Ia susulan kematian pelajar di sebuah asrama sekolah menengah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Jumaat lalu.
Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, pelantikan Pembantu Warden Asrama dicadangkan diperluas ke lebih banyak sekolah berasrama dan memastikan bilangan mereka mengambil kira kapasiti serta keperluan sebenar sesebuah asrama.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah memulakan langkah itu menerusi lantikan 300 Personel MySTEP Pembantu Warden Asrama (MyPWA) mulai 1 April lalu, terutama bagi membantu pemantauan waktu malam dan menjaga keselamatan, kebajikan serta kesejahteraan pelajar.
“Cadangan lain ialah memperkasa sistem pemantauan asrama 24 jam, pertukaran syif, waktu riadah dan lokasi yang dikenal pasti berisiko.
“Memperkukuh pendidikan disiplin, adab, akhlak dan pembentukan karakter pelajar, bukan sekadar melalui hukuman tetapi melalui pendidikan nilai, tarbiyah dan bimbingan, mentor-mentee, kerohanian dan intervensi berterusan.
“Selain itu, memperkasa pengurusan kepimpinan pelajar supaya tidak menyalahgunakan kuasa diberi dan membantu pengurusan sekolah serta asrama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihak berkenaan juga perlu memantapkan mekanisme pengesanan dan pelaporan awal kes buli serta keganasan, termasuk saluran aduan yang selamat dan sulit supaya murid tidak takut untuk mendapatkan pertolongan.
“Selain itu, memperkasa peranan warden tanpa membebankan guru secara berlebihan. Guru yang menjadi warden turut mempunyai tanggungjawab utama dalam pengajaran dan pembelajaran.
“Justeru, penambahan pembantu warden adalah langkah yang wajar diperluaskan. Malah KPM sendiri menyatakan inisiatif MyPWA bertujuan meningkatkan keselamatan asrama sambil mengurangkan beban tugas guru dan selari dengan RPM 2026–2035,” katanya.
Mohd Azizee berkata, pihaknya turut menzahirkan dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, yang meninggal dunia dalam insiden berkenaan.
Berhubung kes itu, katanya, i-Guru menyambut baik tindakan segera KPM yang mengarahkan Jemaah Nazir melaksanakan audit, meneliti aspek keselamatan dan pematuhan tatacara serta memberikan kerjasama penuh kepada siasatan polis.
“Tragedi ini perlu menjadi titik penting untuk kita melihat semula ekosistem keselamatan, disiplin dan pembentukan sahsiah pelajar terutama di sekolah berasrama.
“Keselamatan pelajar tidak seharusnya hanya dilihat daripada sudut kawalan fizikal tetapi mesti merangkumi pembangunan akhlak, pengurusan emosi, hubungan senior-junior, pencegahan buli, intervensi awal serta keberanian murid untuk melaporkan sebarang bentuk ancaman atau keganasan,” katanya.
Pihaknya turut berpandangan asrama mesti menjadi rumah kedua yang selamat untuk anak, tempat membina ilmu, persahabatan, disiplin, adab dan jati diri bukannya tempat yang menimbulkan ketakutan kepada pelajar mahupun kebimbangan kepada ibu bapa.
“Setiap anak dihantar oleh ibu bapa ke sekolah adalah amanah. Keselamatan mereka ialah tanggungjawab bersama yang tidak boleh dikompromi.
“Semoga tragedi ini menjadi iktibar untuk seluruh warga pendidikan dan mendorong kita memperkukuh sebuah ekosistem pendidikan lebih selamat, berdisiplin, beradab dan manusiawi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




