am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan meminta penduduk dan pengguna jeti fiber di Kuala Besar di sini, yang dikatakan uzur serta rosak untuk mengemukakan aduan secara rasmi.
Pengarahnya, Dr Siti Fairus Zakaria berkata, ia bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk menilai keperluan membaik pulih atau naik taraf jeti berkenaan.
Katanya, buat masa ini pihaknya tidak menerima aduan rasmi yang membolehkan tindakan lanjut diambil.
“Bagi kes jeti rosak, penduduk atau pengguna perlu membuat aduan rasmi kepada pihak-pihak berkaitan bagi memudahkan proses membaik pulih.
“Jika ada aduan, pihak kita akan turun ke lokasi untuk membuat siasatan dan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai kebimbangan penduduk yang terpaksa menggunakan jeti fiber yang sudah uzur dan rosak sejak lebih enam bulan lalu meskipun berisiko.
Penduduk mendakwa jeti yang sudah berusia lebih 10 tahun lalu itu sudah mulai reput dan patah, hingga ada penduduk yang terjatuh dalam air ketika melaluinya.
Jeti itu digunakan penduduk kira-kira 10 pulau di Tumpat termasuk Pulau Suri, Teluk Renjuna, Pantai Haji Nik Mat, Pantai Baru dan Lubuk Kawah untuk keluar ke Kota Bharu melalui Kuala Besar.
Mengulas lanjut, Siti Fairus berkata, rancangan pembaikan akan dilaksana sekiranya semakan mendapati pengurusan jeti terletak di bawah bidang kuasa pihaknya.
“Sekiranya ia di bawah tanggungjawab JPS, kita akan mengambil tindakan seterusnya terutama untuk membaik pulih jeti,” katanya.
Bagaimanapun katanya, tindakan susulan lain wajar disalur kepada pihak berkaitan sekiranya ia bukan di bawah tanggungjawab JPS, demi memastikan pengguna dapat menikmati kemudahan infrastuktur yang selamat.
Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke emel Suara Anda, Kami Dengar di am@hmetro.com.my
© New Straits Times Press (M) Bhd




