Pelajar maut di asrama: Polis dedah mangsa disyaki dihukum senior guna getah paip

Pelajar maut di asrama: Polis dedah mangsa disyaki dihukum senior guna getah paip

Pelajar lelaki Tingkatan Dua yang meninggal dunia di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah pada 25 September lalu dipercayai dipukul menggunakan getah paip oleh seorang pelajar senior.

Kejadian berlaku selepas solat Maghrib

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa selesai menunaikan solat Maghrib sebelum dipanggil suspek ke biliknya di tingkat dua.

“Namun, hasil siasatan mendapati mangsa telah dipanggil oleh suspek ke biliknya yang terletak di tingkat dua.
“Di dalam bilik tersebut, mangsa dipercayai dipukul oleh suspek menggunakan getah paip,” katanya.

Menurut beliau, mangsa sebelum itu diarahkan mengambil getah paip dari bilik air sebelum dipukul beberapa kali pada bahagian tapak kaki.

“Mangsa kemudian diarahkan berdiri dan membuka baju sebelum dipukul menggunakan tangan pada bahagian depan dan belakang badan sehingga rebah,” katanya.

Sudah panggil saksi beri keterangan

Apabila keadaan mangsa semakin kritikal, suspek cuba memberikan bantuan pernafasan sebelum menghubungi warden asrama.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital namun disahkan meninggal dunia.

Pemeriksaan awal tidak menemukan pendarahan luaran pada tubuh mangsa, manakala keputusan bedah siasat masih belum menentukan punca kematian sementara menunggu analisis spesimen daripada Jabatan Kimia Malaysia.

Setakat ini, polis telah mengambil 68 keterangan saksi termasuk 51 pelajar, empat guru dan lima warden.

Foto: Berita Harian

Polis sedang menjalankan siasatan

Dalam perkembangan sama, polis menahan seorang lagi pelajar lelaki berusia 16 tahun dari sekolah sama untuk membantu siasatan.

Suspek juga direman selama enam hari.

Menurut Alzafny, tiada laporan berkaitan kejadian buli pernah diterima sebelum ini di sekolah berkenaan.

“Namun, hasil siasatan lanjut mendapati terdapat beberapa pelajar yang tampil mendakwa mereka pernah dibuli oleh suspek pertama yang ditahan.
“Polis masih menjalankan siasatan dan mengumpul keterangan berhubung dakwaan tersebut,” katanya.

Siasatan awal mendapati mangsa dipanggil suspek kerana didakwa menghisap vape, manakala tindakan berkenaan dipercayai berbentuk hukuman oleh pelajar senior terhadap junior.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

“Perbuatan sedemikian boleh menjejaskan proses siasatan serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sumber: Facebook Polis Negeri Sembilan

Scroll to Top