'Saya perlu sembuh, anak-anak masih perlukan saya'

'Saya perlu sembuh, anak-anak masih perlukan saya'

Noor Sara Mohamad Hanif

am@hmetro.com.my

bhnews@bh.com.my

with pix

PADANG BESAR: Ujian berat menimpa ibu tunggal yang membesarkan empat anak termasuk seorang anak kurang upaya (OKU), apabila disahkan menghidap kanser payudara tahap empat.

Bagi Salbiah Jamili, 41, segalanya bermula apabila dia disahkan menghidap penyakit itu ketika sarat mengandung lapan bulan anak bongsu, Annur Safiya, 3.

Katanya, dugaan terus menimpa apabila arwah suami, Alias Kasim yang sebelum itu sihat, tiba-tiba dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat darah tinggi dan meninggal dunia pada usia 46 tahun.

“Saya sentiasa menaruh harapan untuk kembali sembuh kerana anak-anak masih perlukan saya.

“Saya mahu terus menghantar mereka ke sekolah dan menyediakan makan minum untuk anak-anak,” katanya.

Salbiah berkata, dia kini menjalani rawatan kemoterapi, dan keadaan kesihatan pernah merosot teruk Februari lalu sehingga ditahan di wad, bagaimanapun perlu terus kuat demi anak-anak termasuk anak sulung, Adham Syahmi, 18, yang mengikuti Program Keterampilan Kimpalan ‘Zero to Hero’ di Shah Alam, Selangor.

Katanya, Program inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu, tajaan penuh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerusi Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn Bhd (ATAM), khusus untuk golongan asnaf dan B40.

Anak keduanya, Akmal Safwan, 14, pemegang kad OKU pembelajaran, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Jaafar Hassan, manakala anak ketiga, Amzar Syafiq, 11, di Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka dan tinggal di asrama.

Salbiah berkata, dia bersyukur tinggal di kediaman sendiri di Kampung Kubang Perun, Chuping, hasil sumbangan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Katanya, bagi menampung perbelanjaan harian, mereka sekeluarga kini bergantung sepenuhnya kepada elaun bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan, dan saudara mara ada menghulurkan bantuan sekadar termampu.

#kw kanser payudara, ibu tunggal, OKU, Padang Besar, Perlis, Malaysia, Asia, Kampung Kubang Perun, Chuping, Shah Alam, Selangor, Salbiah Jamili, MAIPs, ATAM, TVET, PPRT, KKDW, JKM, bantuan kewangan, asnaf, B40, berita, news, harian metro, bharian

From: ajohari

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top