Kuala Lumpur: Tidak dinafikan perkembangan pesat platform penstriman memberi banyak pilihan kepada penonton untuk menonton filem.
Menurut pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam begitupun pihaknya berharap penonton terus menyokong filem tempatan dengan menonton di pawagam.
Yusof atau nama lengkapnya Mohd Yusof Md Haslam Khan, 72, berkata, sambutan di pawagam tetap penting kerana kegagalan sesebuah filem mencapai kutipan baik boleh memberi kesan kepada penerbit yang mempertaruhkan modal untuk menghasilkan sesebuah karya.
“Bagi saya itu pilihan dan hak masing-masing. Tapi saya mengharapkan penonton di Malaysia menyokong filem tempatan di pawagam. Sebab filem ini kita mengeluarkan bajet yang besar.
“Walaupun pergi di pawagam, nanti pulang tengoklah semula di Netflix. Kalau semua nak harapkan tunggu di Netflix, apa jadi pada industri. Saya sebagai pembikin filem, mewakili rakan seperjuangan saya, merayu penonton untuk menonton filem di pawagam.
“Kalau banyak filem gagal, pengarah mungkin tidak mahu buat filem lagi dan akhirnya industri menjadi lesu. Sokonglah filem tempatan di pawagam sekurang-kurangnya sebulan sekali,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Munafik: Melawan Iblis di sini.
Mengakui kemunculan pelbagai platform penstriman memberi cabaran kepada industri filem tempatan, Yusof berkata perubahan itu secara tidak langsung menuntut pembikin filem untuk lebih kreatif dalam menghasilkan karya yang mampu menarik perhatian penonton.
Menurutnya, tanggungjawab penerbit juga semakin berat apabila kos menghasilkan sesebuah filem terus meningkat, sedangkan sambutan penonton terhadap karya yang ditayangkan di pawagam pula tidak mudah dijangka.
“Betul, sekarang banyak platform sebab itu tanggungjawab pembuat filem hari ini bertambah berat. Pengarah juga menghadapi macam-macam cabaran, terutama dengan kos penerbitan yang semakin tinggi.
“Pada masa sama, kita juga berdepan dengan perubahan selera penonton. Sambutan terhadap filem luar juga tidak seperti dulu dan filem tempatan sebenarnya mempunyai ruang yang besar untuk mendapat perhatian.
“Kalau kita lihat tiga tahun kebelakangan ini, banyak filem tempatan yang berjaya mendapat sambutan cuma tahun ini agak kurang. Tapi saya percaya akan ada lebih banyak karya tempatan selepas ini yang mampu menghasilkan kejutan, insya-Allah.
“Jadi sokonglah filem tempatan, bukan untuk filem saya saja, tetapi semula filem tempatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




