TNB beri pelarasan pro rata untuk penggunaan pada September

TNB beri pelarasan pro rata untuk penggunaan pada September

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pelanggan domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menggunakan antara 601 hingga 800 kilowatt-jam (kWj) pada September lalu akan menerima pelarasan secara pro rata bagi caj tertentu dalam bil Oktober 2026.

TNB dalam kenyataan hari ini berkata, pelarasan itu susulan keputusan kerajaan pada 17 September lalu untuk meningkatkan aras perlindungan pelanggan domestik daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan.

Menerusi peningkatan aras perlindungan itu, pelanggan domestik dengan penggunaan sehingga 800 kWj sebulan bagi tempoh September hingga 31 Disember 2026 akan menikmati pengecualian sepenuhnya daripada Caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Caj Peruncitan RM10 dan Cukai Perkhidmatan lapan peratus.

Bagi penggunaan September, pelarasan caj berkenaan akan dikira secara pro rata dan dikreditkan terus ke dalam bil Oktober 2026.

TNB berkata, jumlah pelarasan akan dipaparkan dalam bil pelanggan menerusi butiran PELARASAN BIL (SEP 2026) dan PELARASAN CUKAI PERKHIDMATAN (8.0 peratus) (SEP 2026).

Bagi pelanggan dengan penggunaan 600 kWj dan ke bawah pada September, tiada pelarasan akan diterima dalam bil Oktober kerana mereka sudah menikmati manfaat perlindungan sedia ada.

Sementara itu, pelanggan yang menggunakan antara 601 hingga 800 kWj layak menerima pelarasan bagi AFA, Caj Peruncitan dan Cukai Perkhidmatan lapan peratus.

Bagi penggunaan 801 kWj dan ke atas, pelanggan hanya menerima pelarasan Cukai Perkhidmatan lapan peratus, berdasarkan bacaan sebenar meter bagi bil September 2026.

Selain itu, TNB menggalakkan pelanggan meneruskan amalan kecekapan tenaga bagi memaksimumkan penjimatan elektrik, termasuk memantau penggunaan harian menerusi aplikasi myTNB.

Pelanggan dengan meter pintar disaran memastikan penggunaan harian kekal di bawah 25 kWj dan menetapkan Energy Budget di bawah RM328.

TNB turut menyarankan penggunaan penyaman udara pada suhu antara 24 hingga 26 darjah Celsius serta penggunaan fungsi pemasa bagi mengurangkan penggunaan tenaga.

Pelanggan juga boleh mempertimbangkan Skim Time-of-Use (TOU) dengan mengalihkan penggunaan peralatan elektrik berkuasa tinggi ke waktu luar puncak iaitu dari 10 malam hingga 2 petang pada Isnin hingga Jumaat serta sepanjang hari Sabtu, Ahad dan cuti umum terpilih bagi menikmati kadar tarif lebih rendah.

Sehingga 30 Jun 2026, TNB membekalkan elektrik kepada lebih 11 juta pelanggan di seluruh negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top