am@hmetro.com.my
Melaka: Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, di sini, hari ini, menganugerahkan RM12.19 juta kepada seorang kanak-kanak perempuan sebagai ganti rugi untuk saman kecuaian perubatan yang difailkan terhadap sebuah hospital kerajaan dan beberapa doktornya.
Hanan Qaireen Mohd Sukri yang kini berusia lapan tahun menyaman melalui bapanya yang juga wakil litigasinya yang sah, Mohd Sukri Mahat, 46, berikutan mengalami kerosakan otak semasa proses kelahiran 18 Februari 2018 dan seterusnya didiagnosis mengalami Cerebral Palsy Spastik Kuadriplegia akibat kecuaian defendan.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Isa Aziz Ibrahim menganugerahkan Hanan Qaireen sebanyak RM10.77 juta bagi ganti rugi am masa hadapan berkaitan kos dan perbelanjaan yang akan terus ditanggung ahli keluarga plaintif sepanjang hayatnya kerana tidak mampu berdikari termasuk rawatan, rehabilitasi dan bantuan pelbagai disiplin lain.
Jumlah ganti rugi am masa hadapan itu diberikan selepas mahkamah menolak tuntutan RM220,000 bagi rawatan sel stem kerana memutuskan kaedah itu belum dibuktikan keberkesanannya dan masih pada peringkat eksperimen.
Selain itu, mahkamah turut menganugerahkan ganti rugi am sebanyak RM500,000, ganti rugi khas (RM441,754.83), ganti rugi teruk (RM300,000), ganti rugi pra-bicara (RM157,792.22) serta kos guaman dan perbelanjaan (RM176,718.75), di samping faedah lima peratus ditetapkan terhadap jumlah penghakiman.
Dalam penghakimannya, Isa menasihati keluarga plaintif supaya menguruskan pampasan berkenaan dengan sebaiknya demi kebajikan dan faedah kanak-kanak itu.
“Walaupun jumlah ini kelihatan banyak, ia adalah untuk tempoh 55 tahun. Jika dikira pampasan sebulan cuma kira-kira RM20,000 dan saya rasa ia memadai serta bukannya satu kemewahan.
“Apa yang terjadi adalah telah terjadi, ini adalah qada dan qadar kita sebagai orang Islam.
“Diharapkan jumlah ini tidak dibazirkan dan digunakan sebagaimana yang sepatutnya,” katanya.
Mengikut penyataan tuntutan, saman yang difailkan pada 30 Oktober 2023 itu menamakan 11 defendan membabitkan Kerajaan Malaysia, pengarah hospital serta sembilan doktor.
Ibu plaintif, Noraisah Ali, 42, pada awalnya bertindak sebagai plaintif kedua.
Bagaimanapun, saman terhadap 10 defendan ditarik balik, manakala nama plaintif kedua digugurkan selepas Kerajaan Malaysia selaku defendan ke-11 mengaku liabiliti pada hari terakhir perbicaraan pada 16 Jun lalu.
Perbicaraan bagi penilaian ganti rugi berlangsung selama enam hari bermula 29 September tahun lalu dengan mengemukakan empat saksi termasuk dua pakar bagi pihak plaintif, manakala defendan tidak memanggil sebarang saksi.
Berdasarkan fakta kes, plaintif lahir pada 18 Februari 2018 dengan skor APGAR rendah iaitu 1, 3 dan 4 pada minit pertama, kelima serta ke 10, selain memerlukan intubasi pada minit keempat kerana gagal bernafas sendiri sebelum dimasukkan ke Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU).
Pemeriksaan Elektroensefalografi (EEG) pada tarikh sama menunjukkan kerosakan fungsi otak pada tahap sederhana hingga teruk (moderate to severe neonatal encephalopathy).
Siri pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan susulan dari 2018 hingga 2023 mengesahkan kecederaan teruk pada struktur penting otak yang menyebabkan plaintif mengidap Cerebral Palsy Spastik Kuadriplegia, iaitu lumpuh pergerakan keempat-empat anggota badan.
Dalam prosiding itu, plaintif diwakili Nur Maizatul Syakira Hashim dan Mohamed Fadly Zakariya, manakala Peguam Kanan Persekutuan Norafiah Saini mewakili Kerajaan Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




