Pengucapan indah kata-kata dalam bait- bait puisi memberi kelebihan kepada genre sastera itu dikembangkan kepada puisi artistik iaitu puisi yang deklamasi dalam bentuk yang lebih menarik menerusi lakonan dan teaterikal bagi menarik minat khalayak.
Jika sebelum ini puisi dideklamasikan sebagai persembahan pentas biasa tetapi dengan daya kreativiti penggiat sastera, mereka menyampaikan puisi secara lakonan berdasarkan kepada bait-bait puisi yang dideklamasikan.
Dengan itu, keindahan puisi diperkukuhkan dengan seni lakon dengan prop tertentu dan daya kreativiti yang menambah nilai keindahan seni tanpa momokan berlebihan.
Memuatkan artikel berkaitan…
Mengulas mengenai persembahan puisi artistik, pelopor bidang tersebut Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Rahman Shaari berkata, persembahan puisi artistik bermula di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) pada 1993 dan kaedahnya tidak jauh seperti dipersembahkan dalam beberapa sayembara sebelum ini.
Kata beliau, deklamasi puisi artistik mesti ada kombinasi yang bagus dengan pernyataan tema dan perlakuan di pentas iaitu pengeluaran nada tepat tidak menyamai deklamasi puisi biasa yang dibaca gaya klise.

Apakah sebenarnya puisi artistik? Persembahan puisi artistik adalah aktiviti berpuisi di atas pentas dengan aneka kaedah.
Teknik, gaya dan suara deklamator perlu ditingkatkan agar berupaya memikat hati penonton.
Di Malaysia, persembahan puisi artistik dipelopori oleh Sasterawan Negara (SN) Datuk Rahman Shaari sewaktu beliau bertugas di Fakulti Pendidikan, UM pada 1993.
Antara tahun 1993 hingga 1996, sebanyak tiga kali persembahan diadakan oleh pelajar-pelajar UM.
Judul-judulnya adalah Pintaku Padamu, Gadis dengan Bulu Ayam dan Milah Anak Maksum.
Pada 2003, Badan Teater dan Sastera (BATTRA), UM, bergabung dengan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) mementaskan persembahan puisi artistik di Port Dickson, berjudul Negeri Hati.
Ketika itu Rahman telah beralih dari Fakulti Pendidikan ke Jabatan Pengajian Media universiti yang sama, dan memegang jawatan profesor.
Seterusnya, pada 2022, Persatuan Penyair Malaysia yang juga pimpinan Rahman, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mengadakan persembahan puisi artistik yang bertajuk Langkahan Wira, yang diadakan DBP.
Sama seperti teater, persembahan puisi artistik memiliki kekuatan dan keindahan yang tersendiri. Kekuatan itu bersandarkan pemahaman pengarah dan deklamator terhadap karya, seterusnya kekuatan bakat, persediaan pentas yang sempurna, dan latihan yang cukup.
Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Datuk Dr. Mohd. Radzuan Ibrahim (Wanrazuhar) memberikan perhatian berat terhadap aktiviti deklamasi puisi artistik.
Ini berdasarkan kesungguhan PEMUISI yang berulang kali menganjurkan sayembara deklamasi puisi artistik hari merdeka. Baru-baru ini sayembara tersebut diadakan buat kali ketujuh di UM
Rahman berkata, teknik dan gaya persembahan para peserta secara keseluruhannya memuaskan, kerana mereka memang terlatih.
Para penonton rasa-rasanya tahu bahawa panel penilai perlu berbahas dengan hujah yang bernas bagi memutuskan siapakah pemenang pertama, kedua dan ketiga, juga penerima hadiah sagu hati.‘
“Dapat dikatakan, PEMUISI mengambil inisiatif secara bersungguh-sungguh mempopularkan kegiatan itu,” ujarnya.
Rahman juga gembira dalam konteks pemberian markah yang dilakukan oleh panel juri secara agregat iaitu apabila ramai juri memberi markah tinggi kepada seseorang peserta bermakna dialah terpilih sebagai pemenang.

“Maka kami panel juri tidak perlu bersusah-payah mencari pemenang berdasarkan format permarkahan tersebut,” ujarnya.
Sayembara berkenaan menerima banyak penyertaan dengan peserta menghantar demo tape kepada penganjur iaitu PEMUISI sebelum disaring dan peserta terpilih mendeklamasikan puisi berkenaan di Panggung Percubaan UM.
Berdasarkan sambutan kepada puisi genre berkenaan setiap peserta mewakili negeri masing-masing dan bertanding di peringkat akhir.
Oleh kerana sambutannya memberangsangkan Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan mencadangkan agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menjadikan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) sebagai acara tahunan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia di bawah kementerian berkenaan.
“Saya mencadangkan kepada MOTAC khususnya Menteri, supaya memasukkan program SDPAHM ini sebagai acara tahunan sambutan Hari Malaysia di kementerian kerana usaha yang baik ini jelas memberikan kebaikan dalam memartabatkan seni, sastera dan budaya serta merapatkan hubungan rakyat pelbagai kaum di Malaysia,” ujarnya.
Kata beliau lagi, puisi artistik yang dipersembahkan dalam sayembara tersebut memperlihatkan pelbagai pendekatan baharu, termasuk unsur teaterikal, muzikal, penggunaan prop-prop manusia, tayangan slaid, muzik secara langsung serta teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Tahniah kepada PEMUISI yang menjadi pelopor dalam menganjurkan puisi artistik ini. Saya yakin puisi ini akan mendapat sambutan ramai apabila digerakkan dengan lebih baik dan berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden PEMUISI Malaysia, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim, merakamkan penghargaan kepada rakan strategik penganjuran seperti UM dan DBP, atas segala kerjasama dan sokongan yang diberikan bagi menjayakan sayembara berkenaan.
Dalam sayembara tersebut, Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman dinobatkan sebagai johan SDPAHM Ke-7.

Sementara itu, kategori Remaja Pelbagai Kaum yang diperkenalkan buat pertama kalinya turut mencuri perhatian apabila tujuh peserta mara ke peringkat akhir.
Varshini Sonyaanaidu A/P Bala Murali Naidu dinobatkan sebagai johan.
Tempat kedua dimenangi Christian Duvan. Dia menerima piala iringan, wang tunai RM1,500 dan sijil penyertaan, manakala tempat ketiga membawa pulang piala iringan, wang tunai RM1,000 serta sijil penyertaan.
Varshini Sonyaanaidu A/P Bala Murali Naidu turut menerima Piala Persembahan Terbaik dan Hadiah Busana Terbaik Wanita, manakala Christian Duvan dinobatkan sebagai penerima Hadiah Busana Terbaik Lelaki.

Kesemua peserta akhir kategori terbuka turut menerima piala iringan, wang tunai RM300 dan sijil penyertaan masing-masing.
Majlis tersebut dihadiri lebih 200 orang yang terdiri daripada sasterawan, pelajar serta peminat puisi.
Bagi kategori Remaja Pelbagai Kaum pula, johan menerima Piala Pusingan Presiden PEMUISI Malaysia , piala iringan, wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan.
Tempat kedua menerima piala iringan, wang tunai RM800 dan sijil penyertaan, manakala tempat ketiga menerima piala iringan, wang tunai RM500 dan sijil penyertaan.
Setiap peserta akhir kategori berkenaan turut menerima wang tunai RM300, piala iringan dan sijil penyertaan.
Majlis tersebut dihadiri lebih 200 orang yang terdiri daripada sasterawan, Exco PEMUISI, pelajar serta peminat puisi.
Antara kenamaan yang hadir ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, Abang Haliman Abang Julai, , yang mewakili Ketua Pengarah DBP; Ketua
Jabatan Promosi dan Pengiktirafan DBP Roziah Mohd. Yunus serta wakil Dekan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya; Dr. Shafa’atussara Silahudin, selain Rahman.
Dalam pada itu, rata-rata pengunjung yang ditemukan menyifatkan mutu persembahan peserta pada tahun ini semakin meningkat, khususnya dari segi kreativiti, penghayatan dan penerapan elemen artistik dalam deklamasi puisi.
Peningkatan tersebut memperlihatkan bahawa puisi bukan sekadar seni kata yang dibacakan, sebaliknya mampu dihidupkan melalui gabungan suara, gerak, muzik, visual dan ekspresi sebagai sebuah persembahan seni yang segar serta dekat dengan jiwa generasi masa kini.
Penganjuran SDPAHM Ke-7 Tahun 2026 diharapkan terus mengorak langkah sebagai wadah penting dalam memperkasa seni deklamasi puisi artistik, di samping menyemarakkan kecintaan terhadap bahasa, sastera dan budaya kebangsaan serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.-
KEPUTUSAN PENUH
KATEGORI REMAJA PELBAGAI KAUM
Varshini Sonyaanaidu A/P Bala Murali Naidu (johan)
Christian Duvan
Ch’ng Xuan En
Chuah Pei Xi
Siew Kai Zhe
Tan Yan Xu
Ng Kai Ju
KATEGORI TERBUKA
Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman (johan)
Alya Syafiqah Adnan
Yusnorsyazana Mohd Yunos
Norhisyam Razali
Shamsilawati Abd Rahman
Mohd Rafiqi Bahuddin
Muhammad Firdaus Sharuddin
Muhammad A’zizul Haziq Roslan
Aimylea Salsabila Shizuka Mohd Najib
Normala Mohamad Shari
Siti Nurain Farahiyah Sallehuddin
Siti Hasmaliza Ghozali – UTUSAN




