BN umum rakan kerjasama bagi PRN Melaka selepas 7 Okt

BN umum rakan kerjasama bagi PRN Melaka selepas 7 Okt

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan rakan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas pengumuman rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun pelbagai sesi perbincangan diadakan bersama parti lain, keputusan masih belum dimuktamadkan setakat ini.

“Kita akan tunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya pada 7 Oktober (Rabu).

“Selepas itu, barulah ada pengumuman mengenai gabungan mana yang harus kita utamakan untuk bekerjasama atau mencapai persefahaman bagi menghadapi PRN Melaka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Ilmuwan Islam Wacana Semarak Patriotisme di sini, hari ini.

SPR dijadualkan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Oktober ini bagi menetapkan tarikh penting pilihan raya, termasuk hari penamaan calon dan pengundian, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Sebelum ini, BN dilaporkan sedang menimbang pelbagai perkara termasuk membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), ataupun bertanding secara solo.

Dalam pada itu, beliau berkata, BN sudah menyusun pelan strategik bagi menggerakkan jentera pilihan rayanya demi membina gelombang biru di Melaka.

“Kita sedang merancang untuk menggerakkan jentera supaya gelombang biru di Melaka ini benar-benar terbentuk dan akhirnya dapat menular ke seluruh negara apabila tiba masanya nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top