Insiden Ketua Pengarah AKPS: Kertas siasatan dirujuk ke Peguam Negara esok – KPN

Insiden Ketua Pengarah AKPS: Kertas siasatan dirujuk ke Peguam Negara esok – KPN

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kertas siasatan berhubung dakwaan dua anggota polis dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, kertas siasatan itu akan dirujuk untuk penelitian, nasihat dan arahan selanjutnya.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 6 Oktober untuk penelitian, nasihat dan arahan selanjutnya, selaras dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Setakat ini, seramai 25 saksi dirakam percakapan terdiri daripada pegawai dan anggota polis, pegawai AKPS, anggota Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pekerja sistem pengendalian bagasi, pegawai perubatan serta saksi bebas,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Mohd Khalid berkata, siasatan dijalankan susulan laporan polis diterima daripada dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendakwa mereka dikasari secara fizikal oleh Mohd Shuhaily dalam insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menjalankan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja melakukan sesuatu perbuatan yang menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain.

“Siasatan dilaksanakan secara telus, profesional dan tanpa memihak, berasaskan keterangan saksi serta bukti yang diperoleh bagi memastikan setiap aspek kejadian diteliti secara menyeluruh.

“Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan dan perundangan yang sedang berjalan.

Terdahulu, rakaman video memaparkan Mohd Shuhaily dalam satu insiden di Terminal 1 KLIA tular di media sosial susulan operasi AKPS bersama Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) terhadap kegiatan ‘ulat’ warga asing di lapangan terbang berkenaan.

Mohd Shuhaily kemudian menjelaskan seorang warga asing dibawa ke bilik pemeriksaan bagasi AVSEC sebelum dua individu memasuki kawasan berkenaan dan merakam kejadian itu.

Beliau menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan serta menyatakan kesediaan menerima sebarang keputusan kerajaan terhadapnya.

Dalam sidang media di Bukit Aman petang tadi, Mohd Khalid memaklumkan polis sudah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan perubatan bagi membantu siasatan.

Beliau turut memaklumkan dua anggota polis berkenaan masih menjalankan tugas seperti biasa sementara siasatan diteruskan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top