'Mak mahu cari pahala jaga abah…' – Jodoh bertaut semula selepas 20 tahun berpisah

'Mak mahu cari pahala jaga abah…' – Jodoh bertaut semula selepas 20 tahun berpisah

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tidak pernah terlintas di fikiran Dr Nabila Abdul Aris, 34, untuk melihat ibu bapanya kembali disatukan selepas lebih 20 tahun berpisah.

Namun, ketentuan Allah membawa kedua-duanya ke fasa baharu kehidupan apabila ibunya, Saniah Saad, 51, membuat keputusan untuk bernikah semula dengan bapanya, Abdul Aris Majid, 60, pada 3 Oktober lalu.

Pasangan itu dinikahkan di rumah Dr Nabila di Rawang, Selangor dengan dihadiri ahli keluarga terdekat.

Lebih meruntun jiwa apabila Dr Nabila turut membimbing bapanya melafazkan akad nikah dalam keadaan terbaring di katil.

Dr Nabila berkata, orang tuanya berpisah pada 2005 ketika dia berusia 14 tahun kerana tidak sehaluan.

“Selepas berpisah, hubungan mereka masih baik manakala saya pula tinggal bersama mak,” katanya yang juga ibu kepada dua anak.

Menurutnya, ibunya pernah mendirikan rumah tangga selepas perceraian berkenaan namun jodoh mereka tidak panjang apabila berpisah pada 2013 selepas lima tahun bersama manakala bapanya tidak pernah berkahwin lagi.

Katanya, keputusan untuk kembali bernikah dibuat ibunya selepas bapanya terbabit kemalangan pada Februari lalu apabila motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta.

“Kemalangan itu menyebabkan abah mengalami pelbagai kecederaan termasuk tulang belakang retak, kaki dan tangan patah serta kerosakan pada organ dalaman sebelum dirawat di hospital hampir tiga bulan,” katanya.

Dr Nabila berkata, sebagai anak tunggal, dia mengambil tanggungjawab menjaga bapanya dengan membawanya tinggal bersama sebaik dibenarkan keluar dari hospital.

“Namun, segalanya bermula pada awal September lalu apabila mak beritahu dia mahu bernikah semula dengan abah kerana mahu menjaganya. Ketika itu, perasan saya bercampur baur kerana perkara itu tidak pernah terlintas di fikiran dan tidak menyangka mereka akan kembali menjadi suami isteri,” katanya.

Dr Nabila berkata, dia pada awalnya tidak mahu ibunya terbeban dan mahu wanita itu berehat pada usia tuanya namun akhirnya akur apabila ibunya nekad dengan keputusan berkenaan.

“Mak beritahu dia mahu cari pahala, jadi dengan berkahwin dengan abah, dia boleh kumpul pahala selain memang hajatnya mahu ditemani suami pada akhir usianya,” katanya.

Dia berkata, persiapan pernikahan dibuat dalam tempoh singkat iaitu kira-kira dua minggu selepas keputusan itu dibuat.

“Sebagai anak, saya rasa mereka patut diberi peluang. Saya tidak mahu ada penyesalan pada kemudian hari kerana tidak memberi peluang kepada mak dan abah untuk bersama semula.

“Perkahwinan mereka bukan sekadar menyatukan kembali dua insan yang pernah berpisah sebaliknya memberi peluang kepada mereka untuk saling menemani dan menjaga antara satu sama lain,” katanya.

Terdahulu, Dr Nabila berkongsi video momen pernikahan ibu bapanya di TikTok.

Setakat ini, video berkenaan mendapat 1.7 juta tontonan dengan 149,000 tanda suka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top