IPU 203, semua sekolah di Batu Pahat ditutup esok

IPU 203, semua sekolah di Batu Pahat ditutup esok

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Semua sekolah dalam daerah ini akan ditutup esok, berikutan Indeks Pencemar Udara (IPU) merekodkan bacaan sangat tidak sihat pada jam 8 malam ini.

Pegawai Daerah Batu Pahat, Kamalludin Jamal, berkata keputusan itu diambil selepas bacaan IPU mencecah 203.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) berkata, pihaknya sedang memantau perkembangan kualiti udara dan bacaan IPU bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan penduduk, khususnya murid serta warga sekolah sentiasa terpelihara.

“Selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM), tindakan berkaitan pengurusan jerebu di sekolah hendaklah dilaksanakan berdasarkan bacaan IPU dan arahan pihak berkuasa pendidikan.

“Berdasarkan maklumat dilaporkan pada 6 Oktober 2026, bacaan IPU di Batu Pahat mencatatkan 203 pada jam 8.00 malam, iaitu pada tahap sangat tidak sihat.

“Memandangkan bacaan IPU melebihi 200, sekolah, tadika dan taska di Batu Pahat hendaklah ditutup mengikut ketetapan iaitu pada 7 Oktober (esok),” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Susulan penutupan itu, pihak sekolah hendaklah melaksanakan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya diarahkan KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat.

Katanya, ia tertakluk kepada arahan dan garis panduan yang berkuat kuasa.

Menurutnya, pihak sekolah hendaklah memaklumkan kaedah pelaksanaan PdPR, tugasan murid dan saluran komunikasi kepada ibu bapa atau penjaga melalui saluran rasmi sekolah.

Beliau berkata, JPBD Batu Pahat bersama agensi berkaitan akan meneruskan pemantauan bacaan IPU dari semasa ke semasa.

“Sebarang keputusan berkaitan pembukaan semula sekolah hendaklah berdasarkan perkembangan kualiti udara dan arahan rasmi pihak berkuasa.

“Orang awam diminta mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar, KPM, JPNJ, PPD Batu Pahat dan Pejabat Daerah Batu Pahat serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

“Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat di Batu Pahat sentiasa terpelihara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top