am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Rapid KL memaklumkan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang, di Stesen Bukit Bintang, mengalami kesesakan susulan peningkatan jumlah penumpang, kira-kira 8 malam tadi.
Bagaimanapun, kemas kini pada 11 malam ini menyatakan aliran penumpang di stesen ini kembali normal.
“Pihak kami akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.” katanya dalam kenyataan, tanpa memperincikan sebab situasi itu berlaku.
Sementara itu, kesesakan berkenaan dipercayai turut memberi kesan besar kepada pengguna di stesen tren lain, termasuk Stesen LRT Bangsar yang menyaksikan ramai penumpang terkandas.
Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai AJ berkata, beliau terpaksa menunggu hampir satu jam di Stesen LRT Bangsar dalam usahanya untuk pulang ke rumah di Meru, Klang.
Menurut AJ, pihak pengurusan di stesen berkenaan ada membuat pengumuman memaklumkan bahawa tren terpaksa dipandu secara manual, sekali gus memperlahankan pergerakan dan menyebabkan semakin ramai orang menunggu di
platform.
“Keadaan masih sangat sesak di Stesen Bangsar dan saya sudah terlepas sebanyak 10 tren kerana tidak mampu mencelah masuk.
“Kekerapan tren kelihatan seolah-olah sudah pulih setiap dua minit, tetapi setiap tren yang sampai semuanya penuh dengan penumpang,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, AJ meluahkan rasa kesal dan kecewa kerana gangguan perkhidmatan sedemikian kerap berulang.
Beliau juga mendesak pihak pengurusan perkhidmatan rel berkenaan supaya mengambil langkah proaktif dan tidak bersikap sambil lewa dalam menangani masalah berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




