Polis nafi anggota ditikam Orang Asli di Tasik Bera

Polis nafi anggota ditikam Orang Asli di Tasik Bera

am@hmetro.com.my

Bera: Polis menafikan dakwaan tular di media sosial mengenai seorang anggotanya cedera ditikam oleh Orang Asli ketika menjalankan operasi pemantauan keselamatan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Ramsar, Tasik Bera di sini.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, penyebaran maklumat palsu yang dikesan tular sejak semalam itu adalah tidak bertanggungjawab serta boleh menimbulkan kegusaran awam.

Menurutnya, kandungan berkenaan mendakwa seorang anggota polis ditikam ketika menjalankan tugas rondaan serta pemantauan keselamatan di sekitar kawasan terbabit.

“Polis menafikan dakwaan berkenaan dan ia adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

“Penyebaran kandungan sebegini bukan sahaja berpotensi mendatangkan kegusaran kepada orang ramai, malah boleh mencetuskan insiden keselamatan yang lebih besar serta menjadi tidak terkawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkiflee berkata, laporan polis sudah diterima berhubung isu tular berkenaan termasuk laporan yang dibuat di daerah luar.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai khususnya pengguna media sosial dinasihatkan supaya lebih bertanggungjawab dan tidak berkongsi kandungan yang berpotensi mencetuskan salah faham, kebencian serta persepsi negatif terhadap mana-mana individu atau komuniti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top