Hakisan pantai ancam penduduk

Hakisan pantai ancam penduduk

KUALA NERUS: Jika sebelum ini kira-kira 100 meter memisahkan kedai keropok lekor milik Roshaila Abdullah dengan pantai, namun hakisan yang semakin serius sejak tahun lalu menyebabkan jaraknya kini hanya tinggal kira-kira empat meter.

Memuatkan artikel berkaitan…

Roshaila, 41, yang mengusahakan kedai berkenaan di Kampung Pantai Batu Rakit sejak lebih 20 tahun lalu berkata, keadaan itu semakin membimbangkan terutama ketika hujan lebat disertai angin dan air pasang.

Katanya, kedai yang turut menjadi sebahagian daripada rumahnya itu kini berdepan risiko hakisan teruk sehingga menyebabkan keluarganya sentiasa berasa bimbang.

“Sekiranya hujan bersama angin dan air pasang, memang kami risau kerana tanah di belakang kedai semakin terhakis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Roshaila berharap kerajaan mengambil tindakan segera termasuk menambak kawasan di belakang kedainya bagi mengurangkan risiko hakisan yang semakin menghampiri premis dan kediamannya.

Katanya, cadangan untuk berpindah juga bukan mudah kerana belum mempunyai lokasi lain yang sesuai untuk meneruskan perniagaan.

“Kalau hakisan berterusan, kami tidak tahu sampai bila boleh bertahan. Harap ada tindakan segera kerana kami belum ada tempat lain untuk berpindah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Nur Haliana Dullah, 40, berkata perubahan garis pantai di kawasan berkenaan semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dia yang menetap di kawasan itu kira-kira 30 tahun lalu turut menyaksikan jarak rumahnya dengan pantai semakin dekat akibat hakisan.

“Dulu rumah saya dengan pantai kira-kira 50 meter, tetapi sekarang semakin rapat. Tahun lalu jaraknya sekitar 10 meter dan kini keadaan semakin membimbangkan,” katanya.

Nur Haliana berkata penduduk berharap projek pengawalan hakisan pantai yang sedang dilaksanakan dapat disegerakan berikutan keadaan semakin teruk dan mengancam keselamatan penduduk. – UTUSAN

Scroll to Top