Langit jingga selubungi Kalimantan Tengah

Langit jingga selubungi Kalimantan Tengah

JAKARTA – Langit di Kalimantan Tengah bertukar jingga akibat kebakaran hutan dan tanah yang semakin serius, ketika Indonesia pada Khamis meningkatkan usaha menangani krisis jerebu terburuk dalam tempoh 11 tahun.

Asap tebal menyelubungi bandar Palangka Raya dan kawasan sekitarnya sehingga menjejaskan jarak penglihatan, manakala pencemaran terus merebak ke negara jiran termasuk Malaysia dan Singapura.

Menurut laporan Al Jazeera pada Rabu, rakaman menunjukkan jalan raya serta kawasan penempatan diselubungi jerebu berwarna jingga ketika penduduk meneruskan aktiviti harian dalam keadaan udara tercemar.

Pengguna jalan raya bergerak dalam keadaan jarak penglihatan terhad akibat jerebu tebal.

Pengguna jalan raya bergerak dalam keadaan jarak penglihatan terhad akibat jerebu tebal.

Perkembangan itu berlaku ketika Indonesia memulakan eksperimen menyebarkan 1.5 tan ais kering menggunakan pesawat di ruang udara Sumatera Selatan pada Khamis bagi mengurangkan kepekatan jerebu.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Dudung Abdurachman berkata, kaedah tersebut bertujuan membantu asap di atmosfera rendah bergerak ke lapisan lebih tinggi.

Menurutnya, percubaan itu akan diperluaskan ke Kalimantan Tengah sekiranya terbukti berkesan.

Penunggang motosikal meneruskan perjalanan pada waktu pagi dalam keadaan jerebu tebal di Palangka Raya. Foto AFP

Penunggang motosikal meneruskan perjalanan pada waktu pagi dalam keadaan jerebu tebal di Palangka Raya. Foto AFP

Bagaimanapun, keberkesanan kaedah berkenaan masih belum dapat dipastikan kerana ia berada pada peringkat eksperimen.

Lebih 280,000 kes masalah pernafasan

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Indonesia mendedahkan sebanyak 283,270 kes masalah pernafasan direkodkan di kawasan terjejas antara 18 Ogos hingga 13 Oktober lalu.

Menurut platform pemantauan hutan Nusantara Atlas, hampir 900,000 hektar kawasan di Indonesia terbakar sepanjang tahun ini.

Fenomena El Nino turut memburukkan keadaan kemarau, sekali gus menyukarkan operasi pemadaman terutama di kawasan tanah gambut.

Dalam perkembangan terbaharu, kerajaan Indonesia mengakui kerosakan tanah gambut akibat projek pertanian sejak beberapa dekad lalu menjadi antara faktor utama yang memburukkan kebakaran.

Menurut laporan, aktiviti pengeringan tanah gambut secara besar-besaran di Kalimantan Tengah dan Sumatera Selatan telah mengubah sifat semula jadinya sehingga menjadikan kawasan itu lebih mudah terbakar.

Kerajaan kini merancang membasahkan semula kawasan gambut dan memperbaiki pengurusan terusan air bagi mengurangkan risiko kebakaran berulang.

Penduduk berjalan dalam keadaan jerebu tebal akibat kebakaran hutan di Palangka Raya, Kalimantan Tengah, pada Rabu. Foto Agensi

Penduduk berjalan dalam keadaan jerebu tebal akibat kebakaran hutan di Palangka Raya, Kalimantan Tengah, pada Rabu. Foto Agensi

Pada Khamis, daerah Katingan di Kalimantan Tengah mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara hampir 1,600, manakala Palangka Raya merekodkan hampir 1,300, jauh melepasi paras berbahaya iaitu 300.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sebelum ini mengarahkan operasi pemadaman dipertingkatkan dengan bantuan anggota keselamatan, pasukan bomba dan helikopter.

Di Malaysia, krisis jerebu menyebabkan penutupan sekolah di beberapa kawasan termasuk Johor, manakala Singapura turut berdepan kemerosotan kualiti udara sehingga tahap sangat tidak sihat.

Singapura juga mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap syarikat yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran rentas sempadan.

Sementara itu, pihak berkuasa Indonesia sedang menyiasat individu dan syarikat yang disyaki terlibat dalam kegiatan pembakaran terbuka.

Krisis tersebut meningkatkan desakan supaya Jakarta mempercepat operasi pemadaman, memulihkan tanah gambut dan memperkukuh kerjasama serantau bagi mengelakkan pencemaran berulang.

Kebakaran tanah gambut turut menyukarkan usaha pemadaman kerana api boleh terus membara di bawah permukaan tanah dan kembali merebak walaupun kawasan terbakar kelihatan sudah dipadamkan, sekali gus meningkatkan risiko jerebu berpanjangan. – Agensi

Scroll to Top