Wakil rakyat pembangkang mencadangkan supaya pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dikaji semula, termasuk mengecualikan golongan berpendapatan tinggi bagi memastikan bantuan kerajaan lebih tertumpu kepada mereka yang memerlukan.
Peruntukan wajar disalurkan kepada yang memerlukan
Memetik laporan daripada Berita Harian, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PAS-Besut) menyatakan, peruntukan berkenaan wajar disalurkan kepada kumpulan yang lebih memerlukan, termasuk golongan M40 rentan, bantuan makanan dan persekolahan.
“Adakah semua penerima dalam kumpulan besar ini benar-benar memerlukan bantuan terbabit? Saya cadangkan nilai tersebut disalurkan terus kepada tabung makanan, bantuan persekolahan atau dana sokongan kepada M40 rentan.
“Bantuan SARA ini diberi kepada semua (rakyat Malaysia berusia) 18 tahun ke atas, termasuk (Ahli Dewan Rakyat) semua dapat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Cadang SARA dikecualikan daripada golongan kaya
Cadangan itu turut disokong Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang berpandangan bantuan SARA perlu dihapuskan atau dikecualikan kepada golongan berpendapatan tinggi supaya manfaatnya dapat diagihkan kepada kumpulan yang lebih memerlukan.
“Saya setuju yang disebut oleh (Ahli Parlimen) Besut tadi tentang SARA. Saya mencadangkan supaya SARA ini dihapuskan atau dikecualikan kepada golongan berpendapatan tinggi dan disebut tadi diagihkan kepada golongan sewajarnya,” katanya.
Foto: Parlimen Malaysia
Dalam perkembangan sama, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mencadangkan supaya caj transaksi satu peratus yang dikenakan melalui sistem MyKasih bagi pelaksanaan SARA disalurkan kepada syarikat kerajaan bagi membantu mengurangkan kos pelaksanaan bantuan berkenaan.
“Apakah pandangan (Ahli Parlimen) Besut bahawa satu peratus itu disalurkan kepada syarikat kerajaan untuk memudahkan ataupun mengurangkan perbelanjaan kerajaan daripada diberikan kepada MyKasih?” katanya.
Foto: Berita Harian
Sementara itu, Che Mohamad Zulkifly turut menggesa supaya kelayakan subsidi petrol menerusi BUDI95 dikaji semula, dengan mengambil kira jumlah pengguna yang menggunakan keseluruhan had bulanan.
“Walaupun kerajaan meningkatkan had kelayakan BUDI95 kepada 300 liter sebulan, rekod menunjukkan bahawa sekitar 100,000 sahaja pengguna atau pun kurang satu peratus daripada kelayakan tersebut.
“Jadi, kita perlu kaji semula dengan (cadangan saya) untuk diberikan kepada golongan M40 rentan,” katanya.
Sumber: Berita Harian (Nuratikah Athilya Hassan)




