zahratulhayat@nst.com.my
Ipoh: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menolak dakwaan pengabaian dan penderaan tiga gajah yang ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun, sambil menjelaskan tingkah laku haiwan berkenaan tidak semestinya menunjukkan mereka mengalami tekanan mental.
Yang Dipertua MPT, Mohamed Akmal Dahalan berkata, tiga gajah berkenaan iaitu Dara, Amoi dan Kelat, berada dalam keadaan sihat serta berjaya menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu sejak tiba di Jepun pada Mac lalu.
Beliau berkata, berdasarkan laporan terkini yang diterima daripada pihak zoo dan penilaian MPT, ketiga-tiga gajah terbabit dalam keadaan baik, aktif, sihat dan sudah berjaya menyesuaikan diri dengan baik.
Menurutnya, Dara, Amoi dan Kelat juga sudah diletakkan kembali bersama bermula sejak 20 September lalu serta mempunyai akses bebas ke seluruh kawasan pameran serta kurungan malam.
Mohamed Akmal berkata, pihaknya mengambil maklum kebimbangan yang dibangkitkan di media sosial berhubung tingkah laku gajah berkenaan, termasuk pergerakan kepala berulang (head swaying), zoochosis serta kekerapan episod musth yang mencetuskan spekulasi mengenai keadaan mental dan emosi haiwan terbabit.
“MPT ingin menjelaskan sekali lagi bahawa tingkah laku itu tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai petanda tekanan, kemurungan atau kebajikan haiwan yang terjejas.
“Head swaying yang berlaku juga tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai petanda tekanan kerana ia juga indikator yang menunjukkan tingkah laku ‘food anticipation’, iaitu keadaan haiwan menjangkakan waktu pemberian makanan,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Mengenai episod musth yang dialami Kelat, Mohamed Akmal berkata, gajah itu hanya melalui fasa berkenaan sebanyak dua kali sejak tiba di Jepun, iaitu pada Mei dan September tahun ini.
Beliau berkata, kekerapan episod musth yang dialami Kelat disebabkan penerimaan makanan bergizi tinggi serta lengkap, dan kedua-dua tingkah laku ini adalah normal bagi gajah yang dijaga di zoo.
“Tidak dinafikan Kelat mengalami penurunan berat badan ketika dua kali fasa musth, namun ia normal seperti yang pernah diterangkan sebelum ini.
“Berat badan Kelat ketika ini sudah meningkat menghampiri berat badan yang direkodkan sebelum fasa musth kedua pada September lalu,” katanya.
Mohamed Akmal turut menolak dakwaan suntikan hormon diberikan kepada Kelat bagi meningkatkan kekerapan episod musth, sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak benar.
Katanya, ketiga-tiga gajah berkenaan turut diberikan diet lengkap dan seimbang mengikut keperluan nutrisi masing-masing, yang disediakan oleh pasukan penjagaan haiwan zoo serta dipantau pegawai veterinar.
“Makanan yang diberikan termasuk pelbagai jenis hay (rumput kering berkualiti) sebagai sumber serat utama, di samping pucuk buluh, rumput segar, kubis, timun, pelbagai jenis pelet yang diformulasikan khusus untuk gajah, kiub alfalfa, dedak gandum, lobak merah, keledek, roti, bahagian atas nanas serta epal.
“Garam serta vitamin turut diberikan dengan menggaulkannya dengan pelet yang dilembutkan setiap hari,” katanya.
Beliau berkata, dari segi perkembangan berat badan, ketiga-tiga gajah itu menunjukkan peningkatan berbanding baru tiba di Jepun Mac lalu.
“Kelat mencatatkan peningkatan sebanyak 580 kilogram (kg), manakala Dara meningkat sebanyak 575 kg dan Amoi sebanyak 405 kg.
“Peningkatan berat badan yang direkodkan itu adalah bukti jelas pengambilan makanan dan tahap kesihatan haiwan terbabit berada dalam keadaan yang memuaskan,” katanya.
Mohamed Akmal berkata, Zoo Tennoji turut melaksanakan program pengayaan secara berkala menerusi pelbagai aktiviti, makanan dan kaedah pemberian makanan bagi menyokong kebajikan serta kesejahteraan mental gajah.
Katanya, pihak zoo terus komited memastikan pemakanan, rawatan veterinar, keselamatan dan pengurusan harian gajah berkenaan mematuhi piawaian serta amalan terbaik antarabangsa.
Sambil menghormati hak orang ramai untuk menyuarakan kebimbangan, beliau menggesa supaya setiap dakwaan berkaitan kebajikan gajah disokong maklumat yang boleh dipercayai dan penilaian profesional.
Katanya, dakwaan yang tidak disokong bukti boleh menimbulkan salah faham serta berpotensi menjejaskan usaha konservasi negara dan kerjasama antarabangsa.
“MPT akan terus memantau kesihatan dan kebajikan gajah berkenaan serta menyalurkan perkembangan terkini bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat yang tepat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




