am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada bulan depan adalah peluang untuk Pakatan Harapan (PH) menilai sejauh mana pengaruh dan sokongan mereka masih bertapak di peringkat akar umbi.
Prestasi PH yang merudum pada PRN Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini, menunjukkan cabaran dihadapi gabungan yang dianggotai PKR, DAP dan AMANAH itu, terutama dalam menarik sokongan pengundi Melayu, justeru aspek itu perlu diberikan perhatian.
Pensyarah Kanan, Komunikasi Liberal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr A Aziz Azizam, berkata jika trend pengurangan undi dalam kalangan kaum Melayu berterusan di Melaka, PH bakal berdepan cabaran untuk mendapatkan sokongan yang lebih meluas, terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Beliau berkata dalam konteks berkenaan, kerjasama yang mungkin dibentuk antara PH dan BERSATU mempunyai asas dari sudut percaturan politik, namun persoalannya, sama ada BERSATU mampu menarik sokongan pengundi Melayu, sementara PH menyumbang kekuatan daripada kelompok pengundi lain.
“Gabungan politik semata-mata tidak menjamin keyakinan rakyat kerana pengundi juga akan menilai sejauh mana kerjasama itu mampu menawarkan kestabilan dan pentadbiran yang berkesan.
“Dalam hal ini, BN mempunyai kelebihan dari sudut rekod pentadbiran dan peranannya dalam mengekalkan kestabilan kerajaan negeri.
“Kestabilan politik bukan sekadar memastikan kerajaan terus bertahan tetapi juga membolehkan dasar dilaksanakan secara konsisten, perancangan pembangunan diteruskan dan kebajikan rakyat diberikan perhatian,” katanya ketika dihubungi.
PH, sebelum ini dilaporkan mungkin bekerjasama dengan BERSATU bagi menghadapi PRN Melaka ke-16, dengan Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari diberikan amanah meneliti peluang kerjasama berkenaan.
Sehingga hari ini, belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenainya oleh kedua-dua pihak, namun PH, malam kelmarin sudah mengumumkan akan bertanding di 21 kerusi, dengan PKR di sembilan kerusi, DAP tujuh kerusi dan AMANAH lima kerusi.
Tujuh kerusi lagi tidak diumumkan, dipercayai untuk rakan kerjasama gabungan itu.
A Aziz, berkata pengundi Melaka pasti menilai bukan sekadar gabungan parti atau janji pilihan raya tetapi akan turut mempertimbang rekod pentadbiran, kestabilan politik, keupayaan menyelesaikan masalah rakyat dan hala tuju pembangunan negeri.
“Keutamaannya bukan sekadar siapa yang mampu membentuk gabungan untuk memenangi pilihan raya tetapi siapa dapat menawarkan kesinambungan pentadbiran stabil, berkesan dan bertanggungjawab kepada rakyat Melaka,” katanya.
PRN Melaka ke-16 akan diadakan pada 14 November ini manakala penamaan 31 Oktober dan undi awal 10 November.
© New Straits Times Press (M) Bhd




