Bangladesh hasrat tarik lebih ramai pelancong Malaysia menerusi kerjasama industri

Bangladesh hasrat tarik lebih ramai pelancong Malaysia menerusi kerjasama industri

Kuala Lumpur: Bangladesh menggalakkan pengendali pelancongan dari kedua-dua negara bekerjasama membangunkan pakej pelancongan bagi menarik lebih ramai rakyat Malaysia berkunjung ke negara Asia Selatan itu.

Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia Manjurul Karim Khan Chowdhury berkata dianggarkan 4,000 rakyat Malaysia melawat Bangladesh tahun lepas berdasarkan jumlah visa yang dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi negara itu, berbanding kira-kira 300,000 pelancong Bangladesh yang mengunjungi Malaysia setiap tahun.

Beliau berkata Bangladesh masih kurang dikenali dalam kalangan pelancong Malaysia dan kerjasama lebih erat antara pengendali pelancongan mampu meningkatkan kesedaran mengenai tarikan pelancongan negara itu.

“Kami sedang berusaha mengetengahkan potensi pelancongan Bangladesh dan dengan kerjasama pengendali pelancongan kedua-dua negara, saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia berminat meneroka Bangladesh.

“Saya juga berharap Bangladesh akan menjadi antara destinasi pelancongan pilihan rakyat Malaysia pada masa depan,” kata beliau kepada Bernama di luar acara promosi pelancongan Bangladesh di sini pada Isnin.

Dianjurkan oleh majalah pelancongan Travel Canvas yang berpangkalan di Bangladesh, acara itu disokong Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia, Lembaga Pelancongan Bangladesh serta Dewan Perniagaan dan Industri Bangladesh-Malaysia.

Program berkenaan turut dihadiri wakil persatuan industri pelancongan Malaysia, termasuk Persatuan Agensi Pelancongan Bumiputera, Persatuan Pelancongan Cina Malaysia dan Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan India Malaysia.

Chowdhury turut melancarkan edisi Oktober-Disember 2026 majalah Travel Canvas yang mengetengahkan warisan arkeologi, makanan tradisional, festival kebudayaan serta tarikan alam semula jadi Bangladesh.

Mengenai urusan visa, beliau berkata Bangladesh sedang berusaha memperkenalkan sistem visa elektronik (e-visa), namun tarikh pelaksanaannya masih belum diumumkan.

Beliau menasihatkan pelancong Malaysia, khususnya mereka yang menyertai pakej pelancongan berkumpulan, supaya mendapatkan visa lebih awal melalui Suruhanjaya Tinggi Bangladesh.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Discovery Tours & Logistic Md Zahirul Alam Bhuiyan mengetengahkan potensi pelancongan mesra Muslim di Bangladesh, termasuk kemudahan mendapatkan makanan halal serta kepelbagaian tarikan alam semula jadi dan bersejarah.

Bhuiyan yang juga penerbit Travel Canvas berkata penerbangan terus oleh beberapa syarikat penerbangan antara Kuala Lumpur dan Dhaka memudahkan perjalanan rakyat Malaysia ke Bangladesh.

Beliau berkata negara itu menawarkan pelbagai tarikan pelancongan, daripada hutan bakau Sundarbans dan pantai Cox’s Bazar kepada warisan era Mughal di Dhaka, masjid bersejarah serta tapak peninggalan purba Buddha.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top