zulfaizan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Skuad Bawah 15 Tahun (B-15) kebangsaan meneruskan rekod tanpa kalah di Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Hungary 1-1, hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Kompleks Pertandingan Hovsan, Baku, Azerbaijan itu, skuad kendalian P Maniam ketinggalan menerusi jaringan Mark Sipos pada minit ke-20.
Bagaimanapun, Harimau Malaya B-15 tidak menunggu lama untuk mengikat kedudukan selepas Iman Lutfi Zairol Hisham menyempurnakan sepakan penalti tiga minit kemudian.
Skuad muda negara sebelum ini merekodkan keputusan cemerlang apabila menewaskan Dominica dan Syria 3-1 sebelum membelasah Ethiopia 5-0, semalam.
Harimau Malaya B-15 seterusnya akan menentang Mexico di gelanggang sama dalam aksi terakhir Kumpulan H, malam ini.
Kapten skuad negara, Anas Suffiyan Mohamad Arif menjelaskan pasukannya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal dalam menghadapi dua aksi sukar dalam satu hari itu.
“Kami cuba mendapatkan rehat yang cukup agar dapat berjuang habis-habisan demi Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




