Mohd Radzi beri bayangan kembali sertai UMNO ?

Mohd Radzi beri bayangan kembali sertai UMNO ?

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas hampir sedekad meninggalkan UMNO, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad memberi bayangan untuk kembali menyertai parti itu menerusi inisiatif Rumah Bangsa.

Perkembangan itu dikongsikan Mohd Radzi yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO ketika mengadakan kunjungan terhadap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, hari ini.

“Insya-Allah tak lama lagi!” katanya ringkas, seperti diumumkan Asyraf Wajdi menerusi hantaran di media sosial Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu.

Mohd Radzi ialah tokoh politik aktif ketika pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad selain pernah memegang beberapa jawatan dalam Kabinet antaranya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Menteri Dalam Negeri.

Bekas Ahli Parlimen Kangar itu kemudian menyertai BERSATU dan pernah memegang jawatan Pengerusi Lembaga Rayuan pada 2018.

Mohd Radzi, 82, yang juga anak Menteri Besar Perlis pertama menyertai UMNO pada 1972 dan memenangi kerusi Parlimen Kangar pada 1982.

Ketika krisis UMNO ekoran pemilihan parti pada 1987, Mohd Radzi dilaporkan memihak kepada Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang mencabar kedudukan Dr Mahathir sebagai presiden.

Bekas Ahli Dewan Negara itu kemudian menyertai Tengku Razaleigh mengasaskan Semangat 46 sebelum kembali menyertai UMNO apabila parti itu dibubarkan.

Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan Dr Mahathir, kemudian melantik Mohd Radzi sebagai Menteri Dalam Negeri pada 2006.

Menerusi hantaran sama, Asyraf Wajdi berkata, persoalan mengenai perkara itu diajukan secara berjenaka.

“Hari ini saya bertuah kerana menerima kunjungan tokoh veteran UMNO yang banyak berjasa kepada parti. Pelbagai ilmu dan pengalaman yang saya timba dalam pertemuan penuh bermakna ini.

“(Beliau memberikan) jawapan ringkas (mengenai hasrat kembali menyertai UMNO) sebelum beredar sudah cukup memberikan kepuasan kepada saya dalam usaha mengembalikan semula semua pejuang UMNO lama dan baharu untuk kembali mengukuhkan UMNO sebuah Rumah Bangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top