asmaini@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen daripada RM5.07 kepada RM5.27 seliter, bagi tempoh 29 Oktober hingga 4 November.
Selain itu, RON95 dan RON97 tanpa subsidi masing-masing naik 10 sen menjadi RM4.42 seliter dan RM4.90 seliter.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataannya berkata, harga minyak mentah Brent meningkat pada minggu lalu berikutan kebimbangan terhadap risiko gangguan bekalan di Asia Barat, sebelum menyederhana sedikit pada penghujung tempoh pengiraan APM.
“Di pasaran serantau, harga diesel bertapis di Singapura turut meningkat, manakala pergerakan harga petrol lebih bercampur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MOF, stok produk petroleum tertentu di Singapura juga berkurangan, namun bekalan dari Asia Timur Laut dijangka kekal stabil.
Katanya, perkembangan konflik di Asia Barat, termasuk ancaman terhadap infrastruktur tenaga dan laluan perkapalan terus menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran bekalan petroleum.
Susulan itu, harga petroleum dunia dijangka kekal tidak menentu dalam jangka sederhana.
Sementara itu, MOF berkata, kerajaan akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global termasuk melalui subsidi bersasar Budi Madani.
“Pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.42 seliter. Ini bermakna, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.43 seliter, bersamaan 55 peratus daripada harga tanpa subsidi.
“Penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM3.17 seliter, atau 60 peratus daripada harga tanpa subsidi.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




