Paris: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan memberi akses kepada ahli majlisnya untuk meneliti dokumen penting berkaitan cadangan FIFA Forward Enterprise (FFE) yang dibatalkan, menurut sumber kepada Reuters, semalam.
FIFA membatalkan rancangan penjualan hak Piala Dunia bernilai AS$20 bilion (RM81 bilion) pada awal musim panas lalu, hanya beberapa hari selepas ia diumumkan kepada umum, susulan bantahan hebat yang turut mengancam kedudukan Presidennya, Gianni Infantino.
Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom menghantar surat kepada ahli Majlis FIFA dengan menjemput mereka mendaftarkan minat untuk meneliti dokumen berkenaan mengikut syarat tertentu di ibu pejabat badan induk itu di Zurich, menurut sumber terbabit.
Langkah itu dibuat pada hari tarikh akhir yang ditetapkan badan induk bola sepak Eropah (UEFA) untuk FIFA menjawab beberapa persoalan berhubung kepimpinan Infantino, ketika persatuan bola sepak Eropah terus mendesak pelaksanaan reformasi dan menentang pemilihan semulanya.
Beberapa persatuan bola sepak sebelum ini menuntut reformasi menyeluruh dalam FIFA susulan kegagalan cadangan berkenaan. Infantino yang berasal dari Switzerland-Itali sebelum ini turut mencadangkan satu penilaian bebas terhadap proses membuat keputusan dalam organisasi itu.
Bulan lalu, UEFA menghantar surat kepada FIFA bagi mendapatkan penjelasan mengenai kepimpinan Infantino, termasuk persoalan berkaitan FFE dan Anugerah Keamanan FIFA, dengan menetapkan 2 November sebagai tarikh akhir untuk memberikan maklum balas.
“FIFA berpandangan tempoh dua minggu yang diberikan UEFA untuk menjawab lebih 100 soalan adalah tidak munasabah, mengambil kira tumpuan mereka baru-baru ini terhadap penganjuran Piala Dunia Remaja baharu di Baku, Azerbaijan,” kata sumber itu.
“Organisasi itu juga sedang membuat persiapan untuk Kongres Luar Biasa pada 23 November bagi menentukan negara tuan rumah Piala Dunia Wanita FIFA edisi 2031 dan 2035. Tindakan undang-undang yang sedang berlangsung di Amerika Syarikat turut mewujudkan batasan dari sudut perundangan.
“FIFA kekal dengan pendirian bahawa pihaknya akan memberikan maklum balas kepada ahli Majlis FIFA apabila tiba masanya, manakala jemputan untuk meneliti dokumen penting itu hanya diberikan kepada ahli majlis berkenaan.”
Peluang Infantino untuk dipilih semula semakin cerah lebih seminggu lalu apabila ketua bola sepak Asia menyatakan sokongan terhadap usaha beliau mendapatkan penggal keempat.
Perkembangan itu menyaksikan Eropah semakin terasing dalam penentangannya terhadap kepimpinan Infantino.
Infantino dijadual bertanding semula pada Mac 2027, dengan tarikh akhir 18 November semakin hampir bagi calon berpotensi mengemukakan pencalonan masing-masing.
© New Straits Times Press (M) Bhd




