Lelaki yang pernah tular kerana melakukan ritual agama lain, Aliff Daniel Adli, 21, diperintahkan menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemujaan salah, lapor Harian Metro.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, di sini, hari ini, dengan menetapkan tertuduh menjalani pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Ulu Yam bermula hari ini.
Foto: Harian Metro / Hazreen Mohamad
Ketika menyampaikan penghakimannya, Mohd Faizal menegaskan perbuatan tertuduh bukan kesalahan biasa kerana ia menyentuh soal akidah dan tauhid sebagai seorang Muslim.
“Kesalahan yang kamu lakukan ini bukan sekadar kesalahan yang lazim dilakukan dalam kesalahan-kesalahan jenayah. Lebih daripada itu, ia membabitkan akidah dan tauhid kamu sebagai seorang penganut Islam.
“Di usia 18 tahun ketika melakukan kesalahan, mungkin kamu cuba meneroka pelbagai perkara ketika muda, tetapi kamu perlu sedar ada batasannya.
“Walaupun kamu menyatakan sudah bertaubat, perlu direkodkan di sini bahawa mahkamah menasihati kamu supaya bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dengan taubat nasuha,” katanya.
Mahkamah turut menerima cadangan pihak pendakwaan supaya hukuman penjara dan denda digantikan dengan perintah pemulihan akidah berdasarkan Seksyen 54(1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.
Mohd Faizal berkata, keputusan itu turut mengambil kira usia tertuduh yang masih muda serta tanggungjawabnya terhadap ibu yang disebut ketika mengemukakan rayuan.
“Mengambil kira usia muda kamu dan bagi memastikan kamu boleh menjaga diri kamu serta ibu kamu yang kamu titikberatkan dalam mitigasi.
“Mahkamah mengarahkan kamu untuk menjalani pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman selama tiga bulan bermula hari ini,” ujarnya.
Aliff Daniel yang mengenakan baju putih dan berkopiah kemudian dibawa pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke pusat pemulihan berkenaan.
Foto: Utusan Malaysia / Syakir Radin
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pemujaan salah dengan menjunjung alat keagamaan lain, melakukan ritual mencucuk anggota badan serta berlutut sambil merapatkan kedua-dua tangan di dada di hadapan patung di sebuah kuil di Batu Caves.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 9 malam hingga 11 malam, 24 Januari 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pendakwa Syarie, Zamniazura Mohd Sarin mencadangkan mahkamah menggunakan kuasa budi bicara di bawah Seksyen 54(1) enakmen sama bagi menggantikan hukuman penjara dan denda dengan perintah pemulihan di pusat pemulihan untuk tempoh tidak melebihi enam bulan.
Dalam rayuannya, Aliff Daniel memohon supaya dikenakan denda minimum tanpa hukuman penjara kerana perlu menjaga ibunya yang baru menjalani pembedahan, selain mendakwa sudah bertaubat.
“Saya juga mohon dibenarkan menjalani kelas bimbingan agama di masjid berhampiran rumah,” katanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah permohonan itu kerana berpendapat tertuduh perlu menjalani pemantauan di pusat pemulihan oleh pihak berautoriti agama.
Pendakwaan dikendalikan Siti Nor Hashibah Jamhari, Zamniazura dan Husaini Roslin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 25 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan laporan pemulihan akidah.
Sumber: Harian Metro (Muhamad Lokman Khairi)




