Anak sampai takut ke sekolah? KPM, PDRM perhebat kerjasama tangani buli dan salah laku

Anak sampai takut ke sekolah? KPM, PDRM perhebat kerjasama tangani buli dan salah laku

Kementerian Pendidikan (KPM) terus memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani isu buli dan salah laku murid, sekali gus memastikan persekitaran sekolah lebih selamat.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, usaha itu memberi tumpuan kepada pengesanan awal sebarang ancaman terhadap keselamatan murid serta tindakan segera sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Menurutnya, perkara tersebut dibincangkan dalam pertemuan bersama Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) PDRM, DCP Datuk Suryani Sungit.

“Berat hati seorang anak hendak ke sekolah apabila ada orang yang ditakutinya di sana.
“Dia mungkin mahu mengadu tetapi bimbang akan diugut pula. Akhirnya, setiap pagi dia perlu berdepan ketakutan yang sama. Saya tidak mahu anak-anak merasakan mereka perlu menghadapi semua ini seorang diri,” katanya.

Maklum beliau, kira-kira 16,000 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) kini terlibat secara lebih aktif dalam hal ehwal sekolah bagi membantu murid mendapatkan perlindungan dan sokongan.

“Saya mahu anak-anak mengenali pegawai yang boleh membantu mereka. Bukan hanya melihat kehadiran polis selepas sesuatu kejadian berlaku,” jelasnya.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh saringan air kencing dengan lebih kerap oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta perkongsian data kesihatan mental bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengenal pasti murid yang memerlukan intervensi.

Beliau turut mengingatkan bahawa guru tidak seharusnya memikul tanggungjawab menjaga keselamatan murid secara bersendirian, sebaliknya kerjasama antara agensi perlu memastikan setiap aduan mendapat tindakan sewajarnya.

Dalam masa sama, Fadhlina menyeru ibu bapa dan warga sekolah supaya mengambil serius setiap luahan anak-anak agar mereka berasa selamat untuk bersuara dan mendapatkan perlindungan.

Scroll to Top