SHAH ALAM – Harga runcit petrol RON97 turun 20 sen seliter, manakala RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing turun 15 sen seliter bagi tempoh 5 hingga 11 November ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, harga baharu RON97 tanpa subsidi ditetapkan pada RM4.70 manakala RON95 tanpa subsidi RM4.27 dan diesel tanpa subsidi RM5.12 seliter.
Menurut MOF, penurunan harga berkenaan dibuat berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Petroleum serantau menunjukkan tanda penyederhanaan susulan peningkatan bekalan bahan api bertapis, termasuk stok petrol dan diesel di Singapura yang menjadi antara rujukan pasaran bagi penetapan harga petroleum di Malaysia.
“Perkembangan itu, bersama penurunan harga minyak mentah Brent pada penghujung tempoh pengiraan APM, memberi petunjuk kepada kemungkinan tekanan harga yang lebih rendah.
“Bagaimanapun, ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat terus memberi risiko kepada kestabilan harga petroleum dunia,” menurut kenyataan itu.
MOF turut memaklumkan subsidi bahan api dijangka kekal tinggi sekitar RM40 bilion pada tahun hadapan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027 bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Dalam pada itu, MOF memaklumkan penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang layak terus menikmati harga RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.27 seliter dengan subsidi kerajaan sebanyak RM2.28 bagi setiap liter atau 53 peratus daripada harga tanpa subsidi.
Bagi BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula, penerima yang layak terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM5.12 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM3.02 seliter atau 59 peratus.
Selain itu, harga petrol bersubsidi menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pula dikekalkan pada RM2.05 seliter, manakala diesel menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal RM2.15 seliter.
Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, selain memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.



