am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Pakatan Harapan (PH) diyakini mampu mencipta kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, meskipun negeri itu bukan kubu kuat gabungan berkenaan.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perubahan itu mampu dicapai menerusi sokongan rakyat yang mahukan pembaharuan, seperti yang berlaku di Selangor dan Perak sebelum ini.
“Anda fikirkan rakyat dan negara ini. Saya harap kawan-kawan semua betul-betul buktikan. Saya tahu Melaka bukan kubu PH.
“Dulu Selangor tidak pernah menjadi kubu PH, begitu juga Perak. Ada masa pasang surut. Kali ini, saya percaya kita boleh membawa perubahan. Kita melakukannya untuk menyelamatkan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Deepavali MADANI di Dewan Besar Kampung Permai, Machap Umboo, di sini, malam ini.
Perdana Menteri berkata, rakyat Melaka perlu berani membawa perubahan, terutama dengan menolak amalan tidak sihat yang memberi kesan kepada negara.
“Ini wakil-wakil calon yang kita tonjolkan. Kita boleh melakukannya. Kalau ditanya, bukan sahaja kita boleh, malah kita mesti melakukannya. Malaysia dan Melaka mesti berani membawa perubahan, melawan rasuah dan bangkit semula.
“Masalah Melayu bukan Cina, masalah Cina bukan India, tetapi masalah kita ialah rasuah, menipu dan mencuri. Kita perlu bersatu, jangan bergaduh,” katanya.
Hadir sama calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim; Mohd Khuzairie Mohd Kamal Kannan (DUN Rembia) dan P Denesh (DUN Asahan).
© New Straits Times Press (M) Bhd




