“Kontena cukup, nak masuk bagi nama..” – Gurauan MB Kedah buat netizen marah

“Kontena cukup, nak masuk bagi nama..” – Gurauan MB Kedah buat netizen marah

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor kembali menjadi bualan orang ramai apabila mengeluarkan kenyataan disifatkan kurang peka terhadap situasi semasa yang dihadapi negara ketika ini.

Seorang pengguna laman Twitter, @amofficialmy memuat naik sedutan video memaparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu menjawab pelbagai soalan ketika mengadakan sidang media baru-baru ini.

Tindakan beliau yang menjawab “kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk bagi nama” daripada salah seorang wartawan mengenai tempat penyimpanan mangsa korban Covid-19 telah mengundang kecaman warganet.

Malah, tindakan itu sekali gus menjadi ‘bahan’ ahli politik pembangkang bagi menyuarakan pandangan masing-masing terhadap Sanusi yang dikatakan kurang sensitif dan tiada adab apabila mengeluarkan kenyataan.

Terdahulu, Sanusi dikritik pelbagai pihak kerana membatalkan cuti sambutan Thaipusam selain tidak mengiktiraf penggunaan bendera putih di negeri tersebut yang dianggap sebagai propaganda politik.

Sumber: Twitter @amofficialmy & @SyedSaddiq

Scroll to Top