Melaka: Pengendali Melaka FC (MUFC), Zainal Abidin Hassan tidak risau dengan penyediaan bajet yang lebih rendah berbanding musim lalu dalam merangka strategi pasukan di pentas Liga Malaysia (Liga M) 2021.
Beliau percaya pengurangan terbabit sama sekali tidak akan memberi impak, malah yakin ia tetap berupaya menyediakan barisan kesebelasan terbaik yang dapat memberi saingan.
“Boleh dikatakan kira-kira 70 peratus pemain dikekalkan. Kita turut mengenal pasti beberapa pemain baharu yang kini berada fasa terakhir rundingan. Mereka termasuk bekas pemain kebangsaan selain pemain baharu sedang dalam usaha menembusi skuad kebangsaan”, katanya.
“Gabungan pemain berpengalaman dan muda antara usaha membangunkan bakat baharu berpotensi”, katanya lagi.
Berkaitan pemain import skuad MUFC pula, Zainal berkata bahawa pengurusan bersetuju mengekalkan Sony Norde dan Jang Suk Won di samping menambah tiga lagi pemain baharu selepas ini.
“Proses perundingan juga sedang berjalan membabitkan pemain import berkenaan. Dan dalam masa sama kita yakin senarai pemain berkenaan akan dilengkapkan selewat-lewatnya pada minggu hadapan”, ujarnya.
Sumber: BH Online
Akmal Hakim
Sports Desk



