Liga-M 2021: Tiket dijual secara ‘online’

Kuala Lumpur: Penjualan tiket untuk aksi awal Liga Malaysia (Liga M) musim depan disahkan hanya akan dilaksanakan melalui pembelian atas talian atau ‘online’ oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) .

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaskan tiada penjualan tiket perlawanan yang akan dijalankan di kaunter stadium bagi jumlah awal kapasiti 10 peratus atau maksimum 4,000 penonton yang dibenarkan kerajaan.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi menghindarinya berlaku perkara yang tidak diingini termasuk ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 jika peminat menyerbu kaunter tiket di stadium.

“Antara SOP yang akan kita kemukakan nanti, kita mewajibkan semua tiket dijual secara online dan tiada lagi beratur beli tiket secara fizikal bagi mengelakkan kejadian tidak baik berlaku. Sama seperti yang saya katakan, kelonggaran yang diberikan (kerajaan), kita patut bertanggungjawab, jangan kita ambil mudah”, katanya kepada media Berita Harian.

Beliau juga berkata bahawa jumlah 10 peratus atau maksimum 4,000 penonton yang dibenarkan cuma akan diberikan kepada penyokong di negeri tuan rumah untuk menghindari berlakunya rentas negeri besar-besar daripada penyokong pelawat.

Semalam, Ab Ghani ada menjelaskan peluang dan kepercayaan yang diberikan kerajaan tidak boleh disia-siakan dengan tindakan tegas akan diambil ke atas pasukan jika terdapat penyokong yang melanggar SOP.

Sumber: BH Online

Akmal Hakim
Sports Desk

Scroll to Top