fahmy.azril@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pembentukan Jemaah Menteri di bawah pentadbiran baharu nanti diharap mengekalkan anggata bekas menteri yang mempunyai pengalaman dalam menguruskan hal berkaitan krisis COVID-19 dan Program Pemulihan Negara (PPN).
Itu pandangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penggiat industri yang berpandangan perubahan ketara dalam Kabinet dibimbangi mengganggu perancangan kerajaan terdahulu, terutama PPN yang dirangka bagi membawa negara keluar dan pulih daripada kemelut ekonomi.
Naib Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Chin Chee Seong, berkata lebih wajar dikekalkan sebahagian individu yang pernah mengisi jawatan dalam Jemaah Menteri terdahulu kerana mereka terbabit dan mempunyai pengalaman menguruskan hal berkaitan COVID-19 dan PPN.
Dengan kes jangkitan semakin meningkat, katanya, persatuan itu berharap jika individu sama kekal di kementerian sama, mereka perlu lebih bekerja keras demi memulihkan kembali negara.
“Banyak perlu dilakukan Jemaah Menteri kelak. Apa yang kami mahu lihat adalah apa yang mereka lakukan mesti berpaksikan situasi ekonomi dan COVID-19 serta memastikan usaha yang dilakukan berjalan lancar.
“Kita juga berharap Perdana Menteri dan Jemaah Menteri nanti menerusikan fungsi dan kewujudan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dianggotai pelbagai pakar dan penggiat industri demi memulihkan kembali ekonomi.
“Mereka perlu lebih kehadapan, harus giat mengadakan libat urus dan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) yang menjadi rungutan kebanyakan penggiat industri dan pengguna. Pastikan ia berlandaskan keperluan,” katanya kepada BH, hari ini.
Chee Seong juga mahu kerajaan memulihkan kembali keyakinan rakyat serta penggiat industri di dalam dan dari luar negara .
“Hal itu mustahak kerana apabila membabitkan pelabur antarabangsa, aspek keyakinan sememangnya boleh mencetuskan sentimen tidak baik terhadap kerajaan dan negara.
“Terlalu banyak berita negatif termasuk yang memaparkan situasi sekarang teruk kerana angka jangkitan COVID-19 tinggi. Ini tidak baik untuk sektor perniagaan. Meskipun ada kelonggaran diberikan kepada individu lengkap vaksinasi, ramai masih risau dan tidak yakin kerana pandemik COVID-19,” ujarnya.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed berharap Jemaah Menteri nanti mendengar keluh kesah rakyat di bawah yang teruk tertekan kerana pendapatan terjejas ekoran pandemik COVID-19.
Beliau menyarankan sesiapa yang dilantik mengisi jawatan menteri kelak supaya sentiasa turun padang sekerap mungkin untuk melihat kebenaran dan realiti sektor ekonomi, terutama yang membabitkan peniaga dan penjaja kecil.
“Diharapkan juga, kerajaan baharu nanti dapat memperkenalkan lebih banyak inisiatif untuk membantu peniaga dan penjaja kecil yang teruk terjejas. Saya harap kerajaan pertimbang modal pemulihan, kecualikan kenaikan bayaran lesen untuk penjaja, lanjutkan moratorium atau diskaun sewaan premis milik kerajaan dan sebagainya.
“Ini kerana walaupun dibenarkan beroperasi, peniaga kecil masih bertatih atau memerlukan masa untuk pulih. Sekarang hasil daripada berniaga pun hanya cukup makan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
