'Ada magis tersendiri dan terus relevan serta masih segar '

'Ada magis tersendiri dan terus relevan serta masih segar '

puterialia@hmetro.com.my

Demam indie terus membara apabila empat kumpulan popular tanah air iaitu Masdo, Bittersweet, Butterfingers dan Bunkface menggegarkan pentas Konsert Indiescovery 2026 di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Meskipun ribuan peminat sudah berada di perkarangan Zepp sejak jam 7.30 malam, bagaimanapun mereka hanya dibenarkan masuk ke dalam ruang konsert bermula 8.40 malam.

Pembukaan tirai konsert bermula dengan aksi bertenaga band NOISE yang dianggotai Puteri Rayyana Rayqa (vokalis) dan Gen Darwish (dram) dengan mempersembahkan lagu Sk8ter Boi.

NOISE kemudian terus menghiburkan peminat menerusi lagu medley Chemistry, Miss Flower learn to twist, Kucing Hitam dan Malam Ini Kita Punya.

Sorakan peminat muzik indie yang rata-ratanya terdiri daripada golongan muda mula bergema apabila kumpulan Masdo mengambil alih pentas.

Masdo membuka tirai persembahan mereka dengan lagu Lautan Asmara dan Janji Manis yang berjaya membuatkan seluruh dewan menari dalam suasana yang cukup meriah.

Vokalisnya, Ali sempat menzahirkan rasa bangga dan terharu kerana dapat berkongsi pentas dengan barisan band indie senior yang menjadi inspirasi mereka selama ini.

“Saya mewakili teman-teman Masdo yang lain rasa berbangga kerana menjadi salah sebuah band yang beraksi.

“Sebab band yang lain macam Bittersweet, Butterfingers, Bunkface ni antara band yang sebelum Masdo wujud kita dah tengok mereka. Terima kasih kerana menjadikan mimpi ini kenyataan,” katanya.

Masdo yang dianggotai Ali, Putu Ceri (bass) dan Mawi (gitaris) kemudian mendendangkan lagu Teruna dan Dara, selain turut mempersembahkan lagu terbaharu mereka berjudul Teristimewa.

Suasana bertukar nostalgik apabila lagu berhantu Dinda berkumandang, apabila ruang Zepp bertukar menjadi lautan cahaya daripada telefon bimbit peminat.

“Untuk lagu yang seterusnya, sebuah lagu yang memberikan rezeki sangat luar biasa kepada Masdo, lagu ini dah berumur 10 tahun lebih tetapi orang masih belum jemu lagi mendengarkannya.

“Ada tak dinda-dinda di Zepp Kuala Lumpur malam ini?” seloroh Ali yang selepas itu menyanyikan lagu Dinda bersama peminat.

Bagi mengubati rindu ‘Geng Pak Maon’, Masdo menghangatkan suasana dengan lagu Malam Pesta Rock N Roll, sebelum melabuhkan tirai persembahan mereka dengan lagu Bercanda Di Malam Indah.

Tepat jam 10.15 malam, ruang mula bergema apabila montaj pembukaan kumpulan Bittersweet mula ditayangkan di skrin pentas.

Bittersweet yang dianggotai Fizan (vokalis) dan Heri (Gitaris) mula menggegarkan pentas menerusi lagu Perfect Match yang penuh bertenaga.

Bagaimanapun, suasana konsert bertukar cemas apabila Fizan mengalami kecederaan akibat terjatuh dari pentas ketika sedang menyampaikan lagu Medley Come On dan Simone.

“It’s okay, I’m fine (Tidak mengapa, saya okay sahaja). Saya mahu berterima kasih kepada semua yang hadir malam ini. Terima kasih. Kita teruskan,” ujar Fizan sambil menenangkan keadaan.

Meskipun ditimpa insiden berkenaan, Fizan dan Heri tetap profesional dan meneruskan persembahan lagu ketiga berjudul Control dengan penuh bertenaga sambil disorak peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan.

Bittersweet terus memukau penonton menerusi lagu medley Burn It Down dan 1234 yang membuatkan The Beats turut melompat keriangan sambil menyanyi bersama lagu Shiver.

Fizan turut mempersembahkan lagu kumpulan terbaharunya, Undercover Dream Club yang bergandingan dengan Leaism berjudul Purnama sebelum menyambung persembahan dengan lagu Capital E dan menutup tirai persembahan menerusi lagu Kucing Hitam.

Kira-kira jam 11.21 malam, giliran kumpulan Butterfingers pula menguasai pentas yang dibuka dengan lagu Girl Friday dan diteruskan dengan lagu rancak Skew.

Meskipun jam sudah menunjukkan 12 tengah malam, kumpulan itu membuktikan usia bukan penghalang apabila mereka mengekalkan momentum persembahan cukup bertenaga menerusi rangkaian lagu hits seperti E, Still River dan Love.

Sebagai penutup kepada persembahan mereka, Butterfingers yang dianggotai Emmett (vokalis), Loque (gitaris), Kadak (bass) dan Loko (dram) menyampaikan lagu Delirium.

Dalam pada itu, tepat jam 12.09 tengah malam, Bunkface mengambil alih pentas sebagai band penutup dengan lagu pembukaan Panik.

Meskipun ada dalam kalangan peminat mula keletihan, sebahagian besar daripada mereka seolah-olah mendapat tenaga baharu mengikut rentak lagu.

Vokalisnya, Sam sempat menyapa peminat setia mereka dan berinteraksi secara santai dengan peminat dari atas pentas.

“Zepp, apa khabar? Tepukan untuk muzik Malaysia. Hi, semua sihat? Semua dah makan? Terima kasih kerana telah menjemput empat buah band tempatan,” kata Sam.

Bunkface yang turut dianggotai Youk (gitaris), Paan (gitaris) dan Biak (pemain dram) meneruskan aksi bertenaga mereka dengan lagu kedua iaitu Ekstravaganza.

Bagi memeriahkan lagi suasana, Sam turut membuat kejutan dengan memanggil seorang penonton lelaki naik ke atas pentas untuk menyanyikan lagu Rentak Laguku bersama-sama Bunkface.

Peminat terus dihiburkan dengan lagu berhantu Darah Muda dan Situasi yang terbukti masih popular dan menjadi siulan ramai sehingga hari ini.

Sebagai penutup tirai konsert, Bunkface menyampaikan lagu ikonik mereka, Revolusi sebelum tirai konsert berakhir pada jam 1 pagi.

Konsert Indiescovery 2026 ini membuktikan bahawa muzik dan lagu-lagu daripada kumpulan indie Malaysia masih mempunyai magis tersendiri, malah terus relevan dan segar didengari sehingga ke hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top