Teruskan berlakon nashkah seram biarpun terpaksa langgar 'pegangan'

Teruskan berlakon nashkah seram biarpun terpaksa langgar 'pegangan'

syafil.syazwan@hmetro.com.my

PRINSIP peribadi selalunya menjadi benteng utama buat mana-mana pelakon dalam menentukan arah tuju kerjaya.

Namun, bagi pelakon Meerqeen, 25, tanggungjawab terhadap kerja terpaksa didahulukan walaupun terpaksa ‘melanggar’ pegangan sendiri.

Membawa watak Syawal dalam drama baharu berjudul Dia Perempuan Sialan, Meerqeen mengakui dia tidak menyangka naskhah berkenaan rupa-rupanya bergenre seram.

Menurut Meerqeen, pada awalnya dia menjangkakan naskhah berkenaan hanyalah sebuah drama psikologi mencemaskan (psycho-thriller).

“Sebenarnya kami semua terkejut. Pada awalnya, kami ingat drama ini cuma psycho-thriller biasa.

“Namun, apabila masuk ke set dan mula sesi pembacaan skrip, barulah kami tahu yang drama ini sebenarnya siri seram,” katanya.

Apabila mengetahui genre sebenar, sekali gus menguji prinsip peribadinya yang selama ini menetapkan matlamat untuk tidak terbabit dalam mana-mana naskhah seram selagi adiknya belum mencecah usia 10 tahun.

Adiknya yang kini baru berusia lima tahun menjadi alasan utama mengapa dia bertindak sedemikian demi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

“Itu memang prinsip asas saya. Saya tidak akan ambil naskhah seram selagi adik saya belum berusia 10 tahun kerana tidak mahu apa-apa perkara buruk berlaku kepadanya.

“Mereka (keluarga) pun tidak tahu saya berlakon cerita seram. Selepas beberapa hari penggambaran bermula, barulah saya beritahu,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai pelakon profesional, Meerqeen enggan mengalah atau berundur sebaik sahaja menyedari hakikat itu.

“Bagi saya, tanggungjawab tetap tanggungjawab. Mahu atau tidak, saya perlu menjalankan sahaja tugas dengan ikhlas,” katanya.

Menceritakan pengalaman penggambaran di Pulau Carey, Klang yang terletak agak jauh ke dalam, Meerqeen bersyukur kerana tidak berdepan sebarang gangguan mistik secara peribadi.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan wujud kejadian aneh di lokasi yang menguji ketahanan mental tenaga produksi.

“Mengikut kefahaman saya, apabila kita membuat cerita yang ‘mengundang’ seperti ini, tarikan misteri itu mesti ada. Saya secara peribadi tidak mengalaminya, tetapi orang lain ada yang kena.

“Contohnya, sewaktu kami sedang melakukan penggambaran satu babak, tiba-tiba pintu terbuka sendiri,” katanya.

Bagi mengelakkan sebarang gangguan masuk ke rumah, dia sentiasa mengambil langkah berwaspada dengan membersihkan diri sepenuhnya sebelum bertemu keluarga.

“Saya ada adik kecil di rumah. Jadi saya memang kena ambil langkah berjaga-jaga, perlu mandi dan bersihkan diri sepenuhnya sebelum masuk ke rumah,” katanya.

Bercakap mengenai gandingan bersama pelakon, Hannah Delisha yang memegang watak sebagai isterinya, Meerqeen meluahkan rasa teruja kerana ini kali pertama mereka berlakon bersama.

“Senang bekerjasama dengannya. Saya boleh katakan begitu kerana saya tahu siapa Hannah Delisha dan bagaimana cara dia bekerja.

“Saya rasa mudah sebab kami berdua memberikan komitmen lebih 100 peratus untuk naskhah ini,” katanya.

Di sebalik watak Syawal yang tidak percaya kepada perkara ghaib, Meerqeen secara jujur mengakui sifat peribadinya yang sebenar iaitu seorang yang penakut.

Dia lebih selesa mendengar kisah seram menerusi audio siar (podcast) berbanding menonton filem seram di layar perak.

“Sebenarnya saya seorang yang sangat penakut. Saya mungkin tidak menonton cerita seram walaupun saya meminati genre itu.

“Saya tidak suka menonton cerita seram, tetapi saya suka mendengar kisah seram,” katanya.

Apabila ditanya sama ada dia lebih takut pada hantu atau manusia, jawapan Meerqeen cukup berasas dan bersikap realistik.

“Saya lebih takutkan manusia berbanding hantu. Manusia lebih berbahaya dari sudut fizikal, namun dari sudut dalaman, hantu lebih berbahaya.

“Kerana saya tidak pernah nampak atau mengalami gangguan hantu secara fizikal, tetapi saya pernah berdepan dan ada pengalaman nyata dengan pelbagai ragam manusia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top