Penyampai radio dan pengacara Sharifah Shahirah tidak dapat menahan sebak dan bangga anaknya, Auddra atau Oddah melancarkan single, Gelanggang Rasa.
Memetik Astro Gempak, Shahirah atau lebih mesra disapa Shiera berkata melihatkan perjalanan anaknya yang kini bernaung di bawah Siti Nurhaliza Legacy (SNL) menyifatkan Odda kini menjadi seorang yang luar basa.
BACA: “Anak Saya Ni Lain” – Shiera Terima Keputusan Oddah Nak Berhenti Sekolah
“Sudah lama saya tak dengar susunan doa yang cantik. Selalu kalau minta dengan Allah, ayat kita terang saja tapi bila dengar ustaz tadi berdoa (waktu majlis pelancaran), elok pula ayat dia. Dia sebut pula nama Odda dalam doanya.
“Sebenarnya saya bangga dan tak sangka. Saya pernah nampak satu gambar Lionel Messi memandikan Lamine Yamal. Mula-mula saya ingat gambar AI (kecerdasan buatan), rupanya gambar betul.
“Jadi bila Siti pernah pegang Odda dulu, Odda jadi luar biasa walaupun dia biasa sahaja. Dia jadi luar biasa bila Siti pegang. Jadi saya syorkan, carilah tok imam atau idola awak, suruh dia pegang dan belai anak kita,” katanya.
Sementara itu, Shiera turut terkenang kembali momen Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendukung Oddah sejak kecil dan akan hadir setiap kali majlis hari jadi anaknya.
“Jadi saya cuma teringat gambar Messi itu. Sejak kecil Siti menimang dan dukung Odda. Hari jadi dia pun Siti datang, cukur jambul dan macam-macam lagi, semuanya Siti datang.
“Saya terharu bila Siti ambil dia, tapi semua itu atas usaha Odda juga. Dia memang suka benda-benda ini dari kecil. Dia tengok dan perhati emak dia.
“Jadi saya fikir, kalau dia suka, teruskanlah. Cuma janganlah nanti orang kata kenapa tak macam Siti. Saya tak boleh nak tutup mulut orang. Faham sajalah DNA keluarga kami macam mana,” katanya.
Sumber: Astro Gempak




