Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan takziah atas pemergian pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Ulul Albab Melaka, Qayyim Ajwad Shahiruddin yang meninggal dunia hari ini.
Pelajar tingkatan empat itu terlibat dalam kemalangan membabitkan rombongan pelajar sekolah berkenaan di Solok Duku, Melaka, baru-baru ini.
Menerusi hantaran Facebook hari ini, Ahmad Zahid menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan yang amat memilukan, selain mendoakan agar mangsa lain yang sedang menerima rawatan diberi kesembuhan.
“Anak-anak di SM Imtiaz Ulul Albab ini saya sudah anggap seperti anak-anak saya sendiri.
“Sebab itu setiap perkembangan mereka amat dekat di hati saya dan kehilangan seorang daripada mereka merupakan satu berita yang amat memilukan,” katanya.
Ahmad Zahid turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada seluruh keluarga Allahyarham dalam menghadapi ujian yang amat berat ini.
SM Imtiaz Ulul Albab Melaka dalam hantaran di Facebook hari ini memaklumkan, Qayyim Ajwad telah kembali ke rahmatullah pada 5.54 pagi tadi.
Pada 8 Julai lepas, seorang guru dan tiga pelajar SM Imtiaz Ulul Albab Melaka terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori ketika dalam perjalanan pulang selepas menyertai pertandingan ping pong di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheng.
© New Straits Times Press (M) Bhd




