am@hmetro.com.my
Ipoh: Pekerja kuari di Simpang Pulai, di sini, ditemukan maut dalam jengkaut yang dipercayai sedang dikendalikannya selepas dihempap batu seberat 10 tan, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, maklumat mengenai kejadian diterima daripada orang awam jam 4 petang tadi mengenai kes kemalangan di tempat kerja.
Katanya, kemalangan membabitkan sebuah jengkaut dikendalikan lelaki berusia 48 tahun berasal dari Gerik yang dihempap batu seberat 10 tan yang jatuh dari ketinggian kira-kira 25 meter.
Beliau berkata, kejadian antara jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari itu tadi dipercayai berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan batu di dalam kawasan kuari.
“Akibat kejadian itu, mangsa tersepit dalam kokpit jentera berat. Mangsa kemudiannya berjaya dibawa keluar dari kokpit jengkaut oleh pasukan bomba jam 6.45 petang tadi.
“Kematian mangsa disahkan oleh petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya menerusi kenyataan malam ini.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik untuk menjalani bedah siasat.
© New Straits Times Press (M) Bhd

