AKSEM rampas 4,500 karton rokok seludup

Bukit Kayu Hitam: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Bukit Kayu Hitam berjaya merampas 4,500 karton rokok putih yang dibawa menggunakan sebuah lori tiga tan malam tadi.
Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah, berkata lori yang membawa muatan barangan plastik dan tilam itu ditahan jam 10.30 malam tadi di Kilometer 177.3 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Butterworth, Pulau Pinang.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati lori yang datang dari Lembah Kelang itu mampu memuatkan 500 hingga 600 kotak rokok, namun pihaknya percaya sebahagian daripada rokok berkenaan sudah diturunkan di Pulau Pinang.
“Pemandu lori memecut lori untuk melarikan diri namun berjaya dikejar anggota risik/operasi AKSEM Kedah.
“Kami berjaya menahan lori terbabit dan hasil pemeriksaan menemui 90 kotak yang mengandungi 4,500 karton rokok putih yang tidak dibayar cukai kastam,” katanya pada sidang media di Kompleks AKSEM Bukit Kayu Hitam hari ini.
Mohd Khairi berkata, baki 90 kotak yang tinggal dipercayai untuk dihantar ke sekitar Bandar Baharu, Kulim dan kawasan di sekitar negeri ini.
“Keseluruhan rokok yang dirampas mengandungi 900,000 batang dan nilainya RM135,000.
“Nilai cukai rokok berkenaan adalah sebanyak RM607,500 dan menjadikan jumlah rokok termasuk cukai sebanyak RM742,500 manakala, lori yang disita bernilai RM60,000,” katanya.
Mohd Khairi berkata, pemandu berusia 31 tahun itu mengaku dia hanya bekerja dengan syarikat berkenaan dan bertugas untuk menghantar barangan dalam lori berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan kami akan menyerahkan pemandu bersama rokok yang dirampas kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan seterusnya,” katanya.

 

ZA137 Malay News
National Desk